BHarian.com.my

PETRONAS kekal pendirian sebagai pemilik eksklusif petroleum Malaysia

KUALA LUMPUR: PETRONAS kekal dengan pendiriannya bahawa ia memiliki pemilikan eksklusif sumber petroleum di Malaysia dan pengawal selia tunggal sektor huluan di negara ini.

“Melangkah ke hadapan, PETRONAS akan memantau keadaan dengan teliti, termasuk mendapatkan pandangan dan panduan dari kerajaan Malaysia, sebagai pemegang saham tunggal, dalam menjalankan tugas kami,” kata syarikat minyak negara itu dalam satu kenyataan, hari ini.

PETRONAS memberi maklum balas terhadap kenyataan yang dibuat Pejabat Ketua Menteri Sarawak semalam mengenai niat kerajaan negeri untuk menjalankan kuasa di bawah undang-undang negeri berkaitan aktiviti minyak dan gas di Sarawak.

Dalam kenyataan itu, kerajaan negeri Sarawak berkuatkuasa 1 Julai menggunakan kuasanya di bawah undang-undang negeri yang berkaitan, termasuk Ordinan Pengagihan Gas 2016.

Mengakui bahawa proses itu mungkin mengambil sedikit masa, kerajaan negeri berkata peserta industri dibenarkan untuk menjalankan perniagaan dan operasi mereka seperti biasa sehingga akhir 2019 sementara pada masa yang sama mengambil langkah-langkah yang perlu untuk memastikan pihak terbabit mematuhi undang-undang negeri.

Source: https://www.bharian.com.my/bisnes/korporat/2018/07/444254/petronas-kekal-pendirian-sebagai-pemilik-eksklusif-petroleum-malaysia

Minyak dan gas bertahan maksimum 17 tahun

PETRA JAYA: Pengeluaran minyak dan gas Sarawak dianggarkan mampu bertahan antara 15 hingga 17 tahun akan datang berdasarkan kadar pengeluaran 5,000 juta kaki padu gas standard sehari (MMSCFD).

Menteri Muda Hubungan Korporat, Abdullah Saidol, berkata anggaran tempoh pengeluaran minyak dan gas itu dilakukan berdasarkan piawaian nisbah rizab kepada pengeluaran.

“Justeru, adalah penting bagi kerajaan negeri kembali mengawal sumber terbabit melalui PETROS, termasuk menguatkuasakan pengawasan dan melindungi kepentingan minyak dan gasnya.

“Sehingga kini, pendapatan yang dijangka diperoleh Sarawak bagi sumber minyak dan gas adalah dalam lingkungan RM3 hingga RM4 bilion setahun.

“Kerajaan negeri konsisten mengekalkan permintaan menaikkan royalti minyak sebanyak 20 peratus,” katanya ketika menjawab soalan Aidel Lariwoo (GPS- Sadong Jaya), di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di Kompleks DUN Sarawak, di sini hari ini.

Abdullah ketika mengulas lanjut, berkata Sarawak mempunyai 52.7 peratus rizab negara yang diketahui, selain berperanan menjadi pengeluar gas asli terbesar negara.

“Sarawak juga menjadi penyumbang terbesar melalui aliran pendapatan di loji Bintulu. Kerajaan negeri memberi mandat kepada PETROS untuk memainkansebagai pengawal selia utama dan menjadi pemain aktif dalam Kontrak Pengeluaran Bersama (PSC) gas di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata, PETROS akan memperkukuhkan pengawasan sumber gas menerusi Strategi Jaringan Bersepadu bertujuan mengimbangi bekalan huluan dengan penggunaan hiliran.

“Ketika ini, tumpuan PETROS adalah mensasarkan penyertaan PSC untuk menjana pendapatan di Sarawak. Tindakan itu penting kerana PSC sekarang ini dikawal sepenuhnya oleh PETRONAS,” katanya.

Source: https://www.bharian.com.my/berita/wilayah/2018/11/496138/minyak-dan-gas-bertahan-maksimum-17-tahun

Pertikaian PETRONAS, kerajaan Sarawak berterusan

KUALA LUMPUR: Kes mahkamah antara PETRONAS dan kerajaan Sarawak, yang tidak dapat diteruskan atas faktor teknikal, menimbulkan persoalan mengenai operasi minyak dan gas di negeri itu mulai bulan depan.

Hari ini, Mahkamah Persekutuan menolak permohonan PETRONAS untuk memulakan prosiding bagi mendapatkan perisytiharan berhubung kuasa mengawal selia aktiviti huluan sumber minyak di Sarawak di bawah Ordinan Perlombongan Minyak 1958 (OMO) bermula 1 Julai.

PETRONAS dalam satu kenyataan berkata, permohonannya ditolak semata-mata atas alasan teknikal dan adalah diputuskan bahawa perkara itu berada di luar bidang kuasa Mahkamah Persekutuan.

“Mahkamah Persekutuan tidak menentukan atau mengesahkan merit kedudukan undang-undang yang diambil oleh kerajaan Sarawak untuk mengawal selia aktiviti huluan petroleum di bawah Ordinan Perlombongan Minyak 1958,” menurut PETRONAS.

Oleh itu, syarikat minyak nasional berkenaan berhasrat meneruskan tindakan undang-undang bagi mencari kepastian haknya di bawah Akta Pembangunan Petroleum 1974 (PDA 1974).

Bagaimanapun, Sarawak bertegas untuk menguatkuasakan hak pengawalseliaannya di bawah OMO.

Ini menyebabkan PETRONAS perlu memiliki lesen atau pajakan yang diperlukan di bawah ordinan berkenaan bermula 1 Julai ini, yang mana jika gagal, aktiviti huluan yang dijalankan oleh PETRONAS adalah haram dan tindakan yang sewajarnya akan diambil.

PETRONAS percaya bahawa konsesi kerajaan negeri dibawah PDA 1974 digubal secara sah, sekali gus menguatkan pandangan syarikat berkenaan bahawa hanya Parlimen boleh membuat undang-undang mengenai perkara yang berkaitan dengan industri petroleum huluan termasuk kuasa pengawalseliaan di seluruh Malaysia, baik di darat dan di luar pesisir berdasarkan PDA 1974.

“Keputusan Mahkamah Persekutuan tidak akan menjejaskan keupayaan PETRONAS untuk meneruskan tindakan undang-undang, dengan niat mencari kepatian hak dan kedudukannya di bawah PDA 1974,” katanya.

Hakim Besar Malaya, Tan Sri Ahmad Maarop, berkata pengisytiharan pelepasan yang dimohon oleh PETRONAS tertakluk di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Beliau menolak permohonan PETRONAS untuk memulakan prosiding undang-undang terhadap kerajaan Sarawak dan mengarahkan syarikat minyak nasional itu membayar RM50,000 kepada kerajaan negeri itu.

Dari perspektif undang-undang berhubung perebutan hak antara syarikat minyak nasional dan kerajaan negeri itu, NSTP difahamkan kedua-dua pihak mempunyai hak terhadap pemilikan kawal selia.

Seorang peguam menyatakan bahawa mahkamah kini berada di antara amalan konvensional Persekutuan ke atas negeri berkaitan Petroleum, dan mengembalikan hak kerajaan Sarawak terhadap mineral itu.

Jurucakap di pejabat Ketua Menteri Sarawak berkata, negeri itu menuntut hak pengawal seliaan dalam meneroka, prospek dan aktiviti perlombongan di negeri berkenaan.

“OMO tidak pernah dimansuhkan dan masih sah, ia tidak pernah dikawal selia di bawah ordinan itu, maka ia masih diguna pakai di darat dan luar pesisir Sarawak.

‘Dengan permohonan PETRONAS dibatalkan, kami kini boleh menguatkuasakan hak kawal selia termasuk memperoleh lesen atau pajakan di bawah ordinan itu,” katanya.

Permohonan lesen perlu mengikut seperti yang ditetapkan OMO dan dihantar kepada pihak berkuasa pengurusan dan mineral negeri melalui Petroleum Sarawak Bhd (Petros).

Di bawah Kontrak Perkongsian Pengeluaran (PSC), PETRONAS membayar lima peratus dari hasil pengeluaran kasar sebagai bayaran tunai kepada kerajaan Persekutuan dan Negeri.

PETRONAS, dalam satu kenyataan kepada Bernama, berkata jika pembayaran tunai kepada negeri pengeluar dinaikkan kepada 20 peratus daripada lima peratus, ia akan menjejaskan industri.

“Kenaikan bayaran tunai juga akan mengurangkan minat pemain industri menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan minyak dan gas,” katanya.

Sementara itu, pemerhati industri, berkata keputusan yang wajar akan diputuskan kepada kedua-dua pihak sekiranya mereka berjaya menyelesaikan perkara itu di luar mahkamah.

“Untuk pelabur (domestik dan asing), PETRONAS dan Petros perlu dilihat bersama dalam mewujudkan kadar yang konsisten bagi menghasilkan kestabilan dan konsistensi.

“Terdapat juga persoalan sama ada Sarawak, menerusi Petris mempunyai kemahiran atau sumber untuk menguruskan dan mengambil alih serta mengawal selia aktiviti perlombongan dan minyak,” katanya.

Pemerhati berkata, adalah wajar sekiranya negara memiliki satu badan pengawal selia daripada mempunyai badan berasingan yang mengawal aktiviti kegiatan perlombongan.

Setakat ini, PETRONAS melabur lebih RM183 bilion dalam sektor huluan Sarawak menerusi PSC dengan bayaran tunai berjumlah RM33 bilion yang dijalankan sejak 1976 kepada kerajaan Sarawak.

Bilangan syarikat yang berdaftar dengan PETRONAS sebagai vendor di Sarawak juga meningkat sebanyak 54 peratus sementara kini terdapat kira-kira 5,000 profesional penduduk Sarawak yang bekerja di PETRONAS seluruh dunia.

Source: https://www.bharian.com.my/bisnes/korporat/2018/06/440603/pertikaian-petronas-kerajaan-sarawak-berterusan

Sarawak perkukuh persediaan IR

PETALING JAYA : Kerajaan Sarawak akan memperuntukkan sebanyak RM1 bilion dalam menyediakan capaian internet laju daripada 6 megabait sesaat (Mbps) kepada 100 mbps.

Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, berkata peruntukan berkenaan bersesuaian dengan cabaran Revolusi Industri (IR) 4.0 yang memberikan penekanan kepada pembangunan internet yang disifatkan sebagai pencetus kepada pembangunan ekonomi rakyat Sarawak.

Katanya pembangunan berkenaan dilihat sangat penting dalam hala tuju Sarawak dalam melonjakkan ekonomi negeri.

“Pembangunan internet berupaya merubah cara tradisional kepada moden yang dilihat lebih cepat dan mendatangkan keuntungan dalam pelbagai bidang termasuk pertanian,” katanya.

Beliau berkata demikian pada siaran langsung bual bicara, Mandat TV3 di Seri Pentas, di sini semalam.

Abang Johari berkata dalam persediaan ke arah itu, kerajaan akan memberikan latihan kepada golongan muda serta kemudahan berkaitan termasuk bekerjasama dengan syarikat teknologi komunikasi, Huawei dan Singpura net dalam urusan berkaitan perbankan internet.

“Saya akui usaha ini mengambil masa tetapi percaya melalui kerja keras dan fokus, kita berupaya melaksanakannya,” katanya.

Beliau turut membangkitkan mengenai isu minyak dan gas di negeri berkenaan yang perlu diselesaikan dengan cara baik menerusi peruntukan perundangan.

“Pertronas dan Petroleum Sarawak Berhad (Petros) harus bekerjasama menyelesaikan hal ini.

“Mungkin Petros akan menjadi agensi manakala selebihnya kita serahkan kepada pihak eksekutif untuk menyelesaikan dengan cara baik.

“Kerjasama dan perkongsian eksekutif antara dua pihak ini pasti memberikan kebaikan kepada kedua-dua pihak,” katanya.

Mengulas mengenai pembangunan Lebuhraya Pan Borneo, beliau berkata ia berupaya membuka banyak peluang ekonomi kepada negeri dan masyarakat khususnya di laluan berkenaan.

“Saya berterima kasih kepada Perdana Menteri yang bersetuju dengan pembinaan lebuh raya yang bukan saja berkualiti tetapi tanpa tol.

“Walaupun ada yang mempersoalkan mengenai ia sesuatu yang membazir, saya menyifatkan ia sebagai suatu pelaburan jangka panjang.

“Saya rasa PM (Perdana Menteri) kita betul-betul mendengar denyut nadi rakyat, dan ia secara menyeluruh dan tidak secara berpusat seperti di bawah kepimpinan terdahulu,” katanya.

Mengulas mengenai persediaan menghadapi Pilihanraya Umum ke 14 (PRU14), beliau berkata muka baharu dipertaruhkan bukan saja menerima sambutan baik daripada masyarakat, lebih daripada itu mendapat tunjuk ajar daripada pimpinan lama.

“Malah kita optimis akan menang,” katanya.

“Saya dan BN Sarawak yakin untuk merampas antara 28 hingga 29 kerusi (daripada 31 kerusi Parlimen) dalam PRU-14 ini dengan usaha gigih jentera parti.

“Harapan saya agar kawasan yang dikuasai pembangkang penggal lalu dapat kembali kepada BN,” katanya.

Mengenai cabaran menghadapi DAP, Abang Johari, berkata menerusi dasar yang menyentuh hati dan yang dapat menyokong kaum Cina, dilihat dapat menawan hati mereka.

“Tahun lalu saya luluskan RM7 juta manakala tahun sebelum ini RM6 juta untuk sekolah Cina.

“Saya lihat kita perlu berlaku adil kerana dalam masyarakat berbilang kaum dan etnik ini, kita tidak seharusnya meminggirkan antara satu kaum dengan kaum yang lain.

“Sarawak ada budaya sendiri, kalau tidak susah. “Dulu ada juga yang menyokong PKR, kerana simpati tetapi ia tidak lama kerana masyarakat Sarawak turut memiliki hasrat sendiri yang perlu diperjuangkan,” katanya.

Mengenai perancangan menerbitkan TV Digital Sarawak, beliau berkata ia masih dalam peringkat penyelidikan.

“Saya ucapkan terima kasih kepada kerajaan pusat yang bersetuju memberi lesen digital kepada kita. 

“TV ini akan kita panjangkan ke Semenanjung.

“Saya kira ia sebagai platform kreatif kepada orang muda untuk menyampaikan pesanan kepada semua masyarakat,” katanya.

Source: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2018/05/420696/sarawak-perkukuh-persediaan-ir

PETROS dijangka raih pendapatan RM2 bilion setahun

SIBU: Pendapatan RM2 bilion setahun dijangka diperoleh kerajaan negeri melalui peningkatan pegangan ekuiti sebanyak 25 peratus dalam Loji Gas Asli Cecair Malaysia (MNLG) 3 di Bintulu.

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg, berkata perolehan dividen itu membantu kerajaan negeri mempercepatkan pembangunan infrastruktur di seluruh negeri, khususnya di kawasan pedalaman dan luar bandar.

“Ini baru MLNG 3, di MLNG1 dan MLNG2, kita memiliki 10 peratus pegangan (saham). Keseluruhannya, Sarawak ada sembilan loji MNLG. Kita akan berunding untuk mengambil (pegangan) sedikit demi sedikit.

“Itu sebab kita tubuhkan PETROS (Petroleum Sarawak Berhad) supaya bila kita ada syarikat minyak sendiri, kita boleh bekerjasama dengan PETRONAS. Kalau PETROS kuat, ia boleh jadi seperti PETRONAS,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Seminar Pembangunan dan Kepimpinan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum Peringkat Negeri Sarawak 2018, di sini, hari ini.

Hadir sama Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Abang Johari yang Menteri Kewangan dan Perancangan Ekonomi Sarawak mendedahkan perolehan dividen itu membantu membiayai projek jalan pesisir sepanjang 900 kilometer yang sedang pembinaan jalanraya pesisir yang kini sedang giat dilaksanakan kerajaan negeri.

“Di jalanraya pesisir ini, ada beberapa jambatan panjang yang perlu kita bina di Sungai Batang Krian dan Sungai Batang Lassa. Ia membabitkan perbelanjaan tinggi, namun kita melaksanakannya kerana Barisan Nasional (BN) sentiasa mendengar denyut nadi rakyat.

“Kita juga mahu menggunakan hasil dari MLNG3 untuk membiayai Projek Grid Air Negeri bernilai RM7 bilion bagi membantu menyelesaikan masalah bekalan air yang masih banyak berlaku di pelbagai tempat di negeri ini,” katanya.

Beliau turut menyeru agar penduduk di Sibu memberikan sokongan kepada calon BN yang dipilih, sekali gus memastikan kemenangan besar dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

“Kita perlu memperkasa Sarawak dengan memenangkan calon BN kerana jika kita menang banyak kerusi, lebih mudah kita bersuara untuk menuntut kembali hak negeri dalam Perjanjian Malaysia 1963,” katanya.

Source: https://www.bharian.com.my/berita/wilayah/2018/04/417217/petros-dijangka-raih-pendapatan-rm2-bilion-setahun

Penubuhan Petros buka pasaran minyak dan gas tempatan

KUALA LUMPUR: Penubuhan syarikat milik kerajaan negeri Sarawak, Petroleum Sarawak Bhd (Petros) akan terus membuka pasaran minyak dan gas tempatan serta berpotensi meningkatkan pelaburan langsung asing (FDI) ke dalam segmen berkenaan, demikian menurut Moody’s Investment Service Inc (Moody’s).

Naib Presiden Pegawai Kredit Kanan Kewangan Koporatnya, Vikas Halan, berkata adalah masih terlalu awal untuk mengatakan ada terdapat atau tidak impak ke atas output PETRONAS di Sarawak, namun apa yang dilihat penubuhan Petronas sudah pasti akan membuka lagi pasaran minyak dan gas tempatan.

“Ia perkembangan yang baik kerana dengan membuka lebih meluas pasaran minyak dan gas, potensi untuk menarik FDI lebih tinggi ke dalam segmen minyak dan gas juga berlaku,” katanya pada taklimat meja bulat ‘Moodys’ Inside Asean: Spotlight on Malaysia’ di sini, hari ini.

Beliau berkata, penubuhan Petros sepatutnya tidak dilihat sebagai ancaman kepada PETRONAS, atau dividen yang dibayar oleh firma minyak dan gas negara itu kepada kerajaan.

“Terdapat banyak negara lain yang mengendalikan pelbagai syarikat minyak dan gas seperti India dan China, yang masing-masing mempunyai antara dua hingga tiga syarikat. Persaingan adalah bagus kerana ia membolehkan firma ini berdaya saing dan berusaha.

“Dari segi bayaran dividen kepada kerajaan, masih terlalu awal untuk menjelaskannya, namun apa yang kami perhatikan sebelum ini adalah kerajaan menunjukkan daya tahan yang hebat pada 2015 dan 2016 apabila bayaran dividen jatuh ke paras RM16 bilion daripada RM30 bilion.

“Jika PETRONAS menyaksikan keuntungannya terjejas oleh Petros, saya pasti kerajaan akan mempamerkan daya tahannya juga,” katanya.

Mengulas lanjut, Vikas berkata setakat ini, PETRONAS masih memiliki hak eksklusif penerokaan di Sarawak oleh kerajaan persekutuan, di bawah Akta Pembangunan Petroleum 1974.

“Tidak terdapat perubahan dalam akta ini dan ada juga kemungkinan walaupun Petronas sudah memulakan usaha penerokaan, ia tidak akan mengganggu output sedia ada PETRONAS. Apa yang kami jangka berlaku adalah PETRONAS akan mengekalkan aktiviti huluan sedia ada dan keuntungannya, manakala Petros bebas meneroka dan menyimpan keuntungannya,” katanya.

Vikas berkata, buat masa sekarang, anggapan rasmi Moody’s adalah tiada perubahan ke atas akta berkenaan.

Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg, sebelum ini berkata Petros akan memulakan aktiviti penerokaannya di Miri pada Julai ini.

Moody’s menjangkakan harga minyak akan berada antara AS$45 dan AS$65 satu tong buat masa ini hingga 2019.

Ia tidak menjangkakan permintaan akan berkurangan di sebalik pelbagai kebimbangan berhubung alam sekitar.

“Dari segi tinjauan global, kami menjangkakan Amerika Syarikat (AS) akan menyumbang lebih tinggi pertumbuhan pengeluaran berbanding permintaan pada 2018 dan 2019.

“Bagaimanapun, Asia akan merangkumi hampir keseluruhan peningkatan permintaan, di sebalik kebimbangan berhubung alam sekitar,” katanya.

Source: https://www.bharian.com.my/bisnes/korporat/2018/03/402105/penubuhan-petros-buka-pasaran-minyak-dan-gas-tempatan

PH ciplak janji pulangkan hak Sarawak : Abang Johari

PETRA JAYA : Janji pembangkang untuk mengembalikan hak Sarawak dan Sabah yang terkandung manifesto gabungan itu sekadar “pemanis” menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg, berkata pemulangan hak itu sebenarnya sudah dibuktikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan sudah pun dilaksanakan.

Sehubungan itu, katanya janji PH untuk mengembalikan hak Sarawak itu bukan hanya menciplak usaha Barisan Nasional (BN) malah jelas hanya sekadar untuk meraih sokongan menjelang PRU-14.

“Perkara itu (memulangkan hak Sarawak) sebenarnya sudah banyak dibuktikan Perdana Menteri antaranya menerusi pemberian hak kepada Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) untuk menguruskan pengeluaran minyak di negeri ini.

“Mengapa ketika 22 tahun berkuasa (merujuk kepada Tun Dr Mahathir Mohamad) tidak memikirkan hal itu tetapi sekarang tiba-tiba pula menyebut mengenainya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Pameran Kerjaya dan Latihan Sarawak (SCaTFAIR) di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, hari ini.

Abang Johari berkata, beliau tidak hairan dengan janji yang dicipta pembangkang kerana ia ibarat “buah yang gugur” menjelang pilihan raya.

Sementara itu, mengenai pertemuan beliau dengan pemimpin Kerajaan Persekutuan di Putrajaya semalam, Abang Johari sekadar berkata ada perkara penting yang dibincangkan.

“Tunggulah, saya akan umumkannya,” katanya.

Terdahulu ketika berucap merasmikan majlis itu, Abang Johari menggesa rakyat negeri ini khususnya golongan muda supaya berusaha merebut peluang untuk bersaing dalam era teknologi digital.

“Kita mesti merebut peluang untuk menimba pengetahuan dan bersedia untuk berubah sesuai dengan perubahan zaman yang semakin maju.

“Jika tidak mahu ketinggalan, kita harus berubah, contohnya dalam perkhidmatan pengangkutan awam, pengusaha teksi harus menerima perubahan dengan kehadiran perkhidmatan bentuk baharu,” katanya.

Source: https://www.bharian.com.my/berita/politik/2018/03/397891/ph-ciplak-janji-pulangkan-hak-sarawak-abang-johari

Sarawak hargai usaha Najib, bukan cakap kosong

KUCHING: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berjaya membuktikan dirinya seorang pemimpin berwibawa dan bukan sekadar `cakap kosong’ apabila menunaikan janji mengembalikan hak dan keistimewaan negeri ini yang terhakis di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri James Jemut Masing, berkata inisiatif itu jelas memperlihatkan keterbukaan Najib dalam menangani isu berkenaan, selain turut membawa lebih banyak pembangunan ke negeri ini, sekali gus memperkasakan sosio-ekonomi rakyat.

“Datuk Seri Najib (Razak) mengakui ada hak dan keistimewaan negeri ini yang terhakis, malah sentiasa bersedia mengembalikannya melalui proses rundingan bersama kerajaan negeri.

“Beliau cukup komited dalam usaha berkenaan kerana menyedari kepentingan perkara itu dalam membawa kemakmuran berpanjangan kepada Sarawak dan rakyatnya. Beliau berjanji dan beliau melaksanakannya, bukan bercakap tanpa tindakan,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Diminta mengulas lanjut mengenai penubuhan Petroleum Sarawak Berhad (PETROS), Masing yang juga Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS), berkata, sudah tiba masa negeri ini mengeksploitasikan kekayaan sumber alamnya, terutama khazanah minyak dan gas.

Beliau menjelaskan melalui penubuhan syarikat milik penuh kerajaan negeri itu, Sarawak kini mempunyai akses dan kawalan sepenuhnya terhadap hasil bumi yang sebelum ini tidak dapat dilaksanakan.

“Usaha dilaksanakan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg dan Datuk Seri Najib (Razak) ini sangat signifikan dalam membuka lembaran baharu kepada negeri ini, terutama dalam menjadikan Sarawak sebagai pemain utama industri petroleum negara,” katanya.

Masing turut berharap pembangkang bersama Barisan Nasional (BN) Sarawak dalam usaha mendapatkan kembali semua hak dan keistimewaan negeri ini berdasarkan perkembangan positif proses perundingan yang berlangsung.

Malah, beliau mengambil pendirian optimistik, termasuk menjangka ada kemajuan lebih dalam penurunan kuasa berkenaan dan memerlukan sokongan semua pihak, termasuk pembangkang bagi mendokong usaha berkenaan.

“Ketika Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun, isu penurunan kuasa tidak berlaku, termasuk mengkaji semula hak Sarawak seperti yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan, malah ia satu perkara sensitif ketika itu.

“Namun, Datuk Seri Najib (Razak) mengambil pendekatan berbeza apabila membuka pintu rundingan untuk Kerajaan Pusat dan kerajaan negeri berbincang mengenainya, seterusnya mengambil kembali segala hak dan keistimewaan negeri yang terhakis selama ini,” katanya.

Bagi Masing, penubuhan syarikat petroleum itu juga antara kejayaan terbesar proses menuntut kembali hak dan keistimewaannya yang terhakis dalam MA63.

“Ini juga mudah dilakukan kerana hubungan erat Kerajaan Pusat dan kerajaan negeri melalui proses perundingan dijalankan sebelum ini, terutama membabitkan penurunan kuasa pentadbiran yang berkaitan.

“Penubuhan PETROS berupaya memperkukuhkan kedudukan negeri ini sebagai pemain utama industri minyak dan gas negara, merangkumi sektor huluan serta hiliran.” katanya.

Source: https://www.bharian.com.my/berita/wilayah/2018/03/396742/sarawak-hargai-usaha-najib-bukan-cakap-kosong

PETROS kembalikan hak rakyat Sarawak: KM

KUCHING: Sarawak kini memiliki hak mengeksploitasi sumber semulajadi negeri ini sepenuhnya, termasuk industri minyak dan gas berikutan penubuhan syarikat milik kerajaan negeri, Petroleum Sarawak Berhad (PETROS).

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg, berkata penubuhan syarikat itu adalah kejayaan terbesar negeri ini dalam proses menuntut kembali hak dan keistimewaannya yang terhakis dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Selain itu, katanya, ia turut memperlihatkan hubungan utuh Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak melalui proses perundingan dijalankan sebelum ini, terutama membabitkan penurunan kuasa pentadbiran yang berkaitan.

Beliau berkata Datuk Seri Najib Razak, bersetuju menyerahkan kembali hak berkenaan kepada kerajaan negeri mengikut Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan kerana Perdana Menteri yakin ia mampu membawa lebih kemakmuran kepada Sarawak dan rakyatnya.

“Penubuhan PETROS sememangnya signifikan dalam usaha kita mempelopori usaha ini (mengembalikan hak dan keistimewaan negeri), termasuk proses penurunan kuasa yang dilaksanakan.

Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Dr Abang Johari Tun Openg menyempurnakan Majlis Pelancaran Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) di Hotel Pullman Kuching. – Foto Nadim Bokhari

“Kepada Datuk Seri Najib (Razak), terima kasih kerana sentiasa memberikan perhatian dan keutamaan terhadap setiap keperluan negeri ini dan ‘Anak Sarawak’, termasuk kesungguhan beliau merintis usaha memberikan kembali segala kuasa yang terhakis secara tidak sengaja sebelum ini,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Perancangan Ekonomi dan Sumber Asli Sarawak berkata demikian ketika menghadiri Majlis Perasmian PETROS di sebuah hotel terkemuka, di sini, malam ini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Menteri Datuk AmarDouglas Uggah Embas dan Pengerusi PETROS, Tan Sri Hamid Bugo.

Pada majlis sama, Abang Johari turut mengumumkan tokoh korporat dari etnik Bidayuh, Saau Kakok, sebagai Ketua Pegawai Eksekutif PETROS, anak syarikat milik penuh kerajaan negeri.

Dengan pengalaman 40 tahun dalam industri minyak dan gas membabitkan pelbagai portfolio, Saau diyakini mampu mengetuai operasi PETROS.

Abang Johari juga yakin penubuhan PETROS mampu membuka lembaran baharu dalam penerokaan industri minyak dan gas di Sarawak, sekali gus memberi impak positif kepada ekonomi dan pembangunan negeri.

“Penubuhan PETROS berupaya memperkukuhkan kedudukan negeri ini sebagai pemain utama industri minyak dan gas negara, merangkumi sektor huluan serta hiliran.

“Malah, PETROS turut menjalinkan kerjasama strategik dengan PETRONAS untuk terus meletakkan industri petroleum negeri terus berada pada landasan kukuh, selain kekal sebagai penyumbang ekonomi Sarawak,” katanya.

Source: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2018/03/396518/petros-kembalikan-hak-rakyat-sarawak-km

PETRONAS tak ambil mudah kenaikan harga minyak

KUALA LUMPUR: Syarikat minyak negara, PETRONAS akan melabur dan berbelanja secara berhati-hati pada 2018 walaupun harga minyak dunia meningkat sejak beberapa bulan kebelakangan ini.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif, Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin, berkata PETRONAS sudah merangka bajet berdasarkan anggapan harga minyak di bawah AS$60 satu tong.

“Beberapa perunding mengunjurkan (harga) lebih tinggi daripada itu, namun kemudian menukar unjuran pada setiap tiga bulan. PETRONAS tidak boleh berbuat demikian. Kami perlu menjadi lebih berhemat,” katanya pada taklimat pengarang sebelum pengumuman keputusan kewangan tahunan PETRONAS, baru-baru ini.

Harga minyak pada masa ini berlegar kira-kira AS$67 satu tong, daripada paras terendah 52 minggu AS$45 satu tong. Harga minyak mencecah AS$70 pada awal tahun ini.

Wan Zulkiflee berkata, Indeks Kos Huluan Global, yang digunakan oleh sebahagian pelabur untuk menjejaki kos dalam sektor minyak dan gas (O&G), juga mula meningkat selepas susut sejak 2014.

“Inilah menjadi kebimbangan saya. Adalah bagus jika industri O&G kita tidak mengikuti trend sedemikian (kenaikan kos). Jika kita boleh lagi menjadi daya saing, kita boleh mendapatkan lebih banyak projek,” tambahnya.

Beliau mengakui bahawa dengan harga minyak lebih tinggi, beberapa penyedia perkhidmatan mungkin menjangkakan caj mereka akan sejajar meningkat, namun ia tidak semestinya berlaku.

Wan Zulkiflee berkata, penyedia perkhidmatan O&G sepatutnya tidak memandang caj mereka semata-mata, mengikut fungsi harga minyak.

“Saya berasakan kos adalah salah satu bahagian yang perlu diusahakan seluruh industri untuk menjadikan kita semua berdaya saing setinggi yang boleh. Inilah satu risiko yang saya bimbangi, iaitu ketidakcekapan akan mula berlaku sekali lagi,” katanya.

Beliau berkata, masih lagi ada lebihan kapasiti dalam industri perkhidmatan sokongan O&G, dan peserta industri agak lambat untuk melaksanakan proses pengukuhan atau penggabungan bagi meningkatkan kecekapan kos.

“Sebagai contoh, kita memiliki lebih 230 kapal luar pesisir di Malaysia. Ada 130 yang sedang beroperasi hari ini. Bakinya tidak, melainkan jika mereka menemui pekerjaan lain di rantau ini.

“Walaupun dengan 130 kapal sedang beroperasi, jika PETRONAS mahu terus mengoptimumkannya, masih ada lagi ruang. Masih ada yang banyak perlu dilakukan untuk menjadikan seluruh industri O&G Malaysia berdaya saing,” katanya.

Wan Zulkiflee berkata, pembabitan PETRONAS dalam Pakatan Pengurangan Kos (CORAL 2.0) menghasilkan penjimatan lebih daripada RM10 bilion sejak ia dimulakan pada 2015.

Program jangka panjang industri yang dipacu oleh PETRONAS untuk memupuk set pemikiran berlandaskan kos dalam kalangan peserta Upstream Malaysia juga menarik minat syarikat di Kanada dan Mozambique, antara lainnya.

“Ia penjimatan sebenar dan semuanya adalah mengenai tabiat. Sekarang ini kami berkongsi pelan, spesifikasi dan inventori gudang. Kami sudah melaksanakan perubahan berstruktur dari segi bagaimana industri berbelanja, hanya dengan berkongsi.

“Kami akan meneruskan CORAL dan berharap ini akan menjadi amalan ‘Perniagaan Seperti Biasa’,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, PETRONAS bersedia untuk bekerjasama dengan mana-mana entiti negeri bagi membangunkan sumber minyak dan gas, jika ia bersandarkan kepada rangka kerja kawal selia sedia ada.

Tahun lalu, Sarawak menubuhkan syarikat minyak dan gas milik kerajaan negeri, Petroleum Sarawak Bhd (Petros) bagi meneroka aktiviti huluan minyak dan gas.

Source: https://www.bharian.com.my/bisnes/korporat/2018/03/395758/petronas-tak-ambil-mudah-kenaikan-harga-minyak