Sarawak perkukuh persediaan IR

PETALING JAYA : Kerajaan Sarawak akan memperuntukkan sebanyak RM1 bilion dalam menyediakan capaian internet laju daripada 6 megabait sesaat (Mbps) kepada 100 mbps.

Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, berkata peruntukan berkenaan bersesuaian dengan cabaran Revolusi Industri (IR) 4.0 yang memberikan penekanan kepada pembangunan internet yang disifatkan sebagai pencetus kepada pembangunan ekonomi rakyat Sarawak.

Katanya pembangunan berkenaan dilihat sangat penting dalam hala tuju Sarawak dalam melonjakkan ekonomi negeri.

“Pembangunan internet berupaya merubah cara tradisional kepada moden yang dilihat lebih cepat dan mendatangkan keuntungan dalam pelbagai bidang termasuk pertanian,” katanya.

Beliau berkata demikian pada siaran langsung bual bicara, Mandat TV3 di Seri Pentas, di sini semalam.

Abang Johari berkata dalam persediaan ke arah itu, kerajaan akan memberikan latihan kepada golongan muda serta kemudahan berkaitan termasuk bekerjasama dengan syarikat teknologi komunikasi, Huawei dan Singpura net dalam urusan berkaitan perbankan internet.

“Saya akui usaha ini mengambil masa tetapi percaya melalui kerja keras dan fokus, kita berupaya melaksanakannya,” katanya.

Beliau turut membangkitkan mengenai isu minyak dan gas di negeri berkenaan yang perlu diselesaikan dengan cara baik menerusi peruntukan perundangan.

“Pertronas dan Petroleum Sarawak Berhad (Petros) harus bekerjasama menyelesaikan hal ini.

“Mungkin Petros akan menjadi agensi manakala selebihnya kita serahkan kepada pihak eksekutif untuk menyelesaikan dengan cara baik.

“Kerjasama dan perkongsian eksekutif antara dua pihak ini pasti memberikan kebaikan kepada kedua-dua pihak,” katanya.

Mengulas mengenai pembangunan Lebuhraya Pan Borneo, beliau berkata ia berupaya membuka banyak peluang ekonomi kepada negeri dan masyarakat khususnya di laluan berkenaan.

“Saya berterima kasih kepada Perdana Menteri yang bersetuju dengan pembinaan lebuh raya yang bukan saja berkualiti tetapi tanpa tol.

“Walaupun ada yang mempersoalkan mengenai ia sesuatu yang membazir, saya menyifatkan ia sebagai suatu pelaburan jangka panjang.

“Saya rasa PM (Perdana Menteri) kita betul-betul mendengar denyut nadi rakyat, dan ia secara menyeluruh dan tidak secara berpusat seperti di bawah kepimpinan terdahulu,” katanya.

Mengulas mengenai persediaan menghadapi Pilihanraya Umum ke 14 (PRU14), beliau berkata muka baharu dipertaruhkan bukan saja menerima sambutan baik daripada masyarakat, lebih daripada itu mendapat tunjuk ajar daripada pimpinan lama.

“Malah kita optimis akan menang,” katanya.

“Saya dan BN Sarawak yakin untuk merampas antara 28 hingga 29 kerusi (daripada 31 kerusi Parlimen) dalam PRU-14 ini dengan usaha gigih jentera parti.

“Harapan saya agar kawasan yang dikuasai pembangkang penggal lalu dapat kembali kepada BN,” katanya.

Mengenai cabaran menghadapi DAP, Abang Johari, berkata menerusi dasar yang menyentuh hati dan yang dapat menyokong kaum Cina, dilihat dapat menawan hati mereka.

“Tahun lalu saya luluskan RM7 juta manakala tahun sebelum ini RM6 juta untuk sekolah Cina.

“Saya lihat kita perlu berlaku adil kerana dalam masyarakat berbilang kaum dan etnik ini, kita tidak seharusnya meminggirkan antara satu kaum dengan kaum yang lain.

“Sarawak ada budaya sendiri, kalau tidak susah. “Dulu ada juga yang menyokong PKR, kerana simpati tetapi ia tidak lama kerana masyarakat Sarawak turut memiliki hasrat sendiri yang perlu diperjuangkan,” katanya.

Mengenai perancangan menerbitkan TV Digital Sarawak, beliau berkata ia masih dalam peringkat penyelidikan.

“Saya ucapkan terima kasih kepada kerajaan pusat yang bersetuju memberi lesen digital kepada kita. 

“TV ini akan kita panjangkan ke Semenanjung.

“Saya kira ia sebagai platform kreatif kepada orang muda untuk menyampaikan pesanan kepada semua masyarakat,” katanya.

Source: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2018/05/420696/sarawak-perkukuh-persediaan-ir

Jangan jadi `kakitangan parasit’ – Awang Tengah

KUCHING: Semua penjawat awam di Sarawak diingatkan usah menjadi ‘kakitangan parasit’ yang bukan saja tidak memahami dasar pentadbiran kerajaan negeri, malah enggan menjadikannya hala tuju untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan mereka.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, berkata peringatan itu ditujukan khusus kepada penjawat awam bertugas bawah jabatan dan agensi kerajaan, malah beliau mahu semua dasar dilaksanakan kerajaan negeri difahami serta diadaptasi.

“Ia penting bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan dan sistem penyampaian setiap jabatan serta agensi berkaitan, termasuk Gagasan Ekonomi Digital diperkenalkan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg bagi melonjakkan lagi kemajuan Sarawak.

“Jika kita tidak memahami dasar yang menjadi hala tuju kepemimpinan negeri, maka susahlah kita mahu bekerja, seolah-olah kita bekerja sendiri tanpa hala tuju tertentu dan menjadi parasit,” katanya pada Majlis Apresiasi Kementerian Pembangunan Bandar dan Sumber Asli di sini, semalam.

Awang Tengah yang juga Menteri Pembangunan Bandar dan Perancangan Sumber II Sarawak, berkata Abang Johari memiliki wawasan cukup jauh dalam membawa Sarawak mencapai status negeri maju berpendapatan tinggi.

Malah dalam tempoh 325 hari mengambil alih kepemimpinan negeri, katanya, beliau memperkenalkan Gagasan Ekonomi Digital dan mengasaskan penubuhan Bank Pembangunan Sarawak (DBOS), Lembaga Multimedia Sarawak (SMA), Lembaga Pembangunan Hulu Rejang (URDA), Lembaga Pembangunan Tanah Tinggi (HDA) serta Lembaga Pembangunan Wilayah Utara (NRDA).

“Beliau turut menaikkan kadar premium balak kepada RM50 per meter padu berbanding RM0.80, disusuli Projek Pembangunan Darul Hana, Sarawak Pay, Sistem Transit Aliran Ringan (LRT), Smart Sarawak, Syarikat Petroleum Sarawak (PETROS), peruntukan RM1 bilion bagi membina hingga 5,000 menara komunikasi di negeri ini dan Sistem Grid Air Negeri,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, antara kejayaan tahun lalu dicapai Kementerian Pembangunan Bandar dan Sumber Asli yang berkaitan dasar kerajaan negeri ialah penambahan keluasan 600,000 hektar kawasan Heart of Borneo (HOB) menjadikannya seluas 2.7 juta hektar.

“Lebih 833,000 hektar tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) selesai diukur Jabatan Tanah dan Survei secara perimeter dan 4.32 juta hektar kawasan hutan negeri ini sudah diwartakan sebagai Hutan Simpan Kekal,” katanya.

Source: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2018/02/385359/jangan-jadi-kakitangan-parasit-awang-tengah

Permohonan semakan kehakiman PETRONAS ditolak

PETRA JAYA: Mahkamah Tinggi Kuching di sini, hari ini menolak permohonan semakan semula kehakiman oleh Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) berhubung pelaksanaan Cukai Jualan Negeri (SST) terhadap produk petroleum.

Hakim Azhahari Kamal Ramli membuat keputusan itu selepas mendengar hujah daripada kedua-dua pihak.

Kerajaan Sarawak dibarisi pasukan perundangan yang diketuai Penasihat Undang-Undang negeri, Datuk Seri J C Fong dan Peguam Negeri, Datuk Talat Mahmood Abdul Rashid serta timbalannya, Saferi Ali manakala PETRONAS pula diwakili peguamnya, Datuk Malik Imtiaz Sarwar dan Alvin Yong.

Azhahari berkata, mengikut Perkara 95 (B) (3) Perlembagaan Persekutuan, sebarang cukai jualan yang dikenakan oleh undang-undang negeri hendaklah disifatkan sebagai antara perkara yang disebutkan dalam Senarai Negeri, Ordinan Cukai Jualan Negeri dan mana-mana perundangan subsidiari yang dibuat mengikut Perlembagaan dan sah.

“Permohonan itu ditolak dengan kos RM50,000 yang diberikan kepada responden,” katanya.

Sementara itu, Fong yang ditemui di luar mahkamah selepas prosiding itu berkata, beliau berharap keputusan itu diterima oleh PETRONAS dan tiada rayuan susulan dikemukakan.

“Diharapkan juga semua pihak berkepentingan seperti PETRONAS, PETROS dan kerajaan Sarawak akan bekerjasama dalam industri gas yang sedang menghadapi cabaran pada masa ini berikutan harga minyak yang rendah dan permintaan global yang rendah,” katanya.

Source: https://www.bharian.com.my/berita/kes/2020/03/665016/permohonan-semakan-kehakiman-petronas-ditolak

PETRONAS, Petros teruskan perbincangan

KUALA LUMPUR: PETRONAS akan terus berbincang dengan Sarawak Petroleum Bhd (Petros) dan negeri-negeri pengeluar minyak yang lain mengenai kaedah pengaturan kerja, kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin.

“Ini terkandung dalam skop Perjanjian Malaysia 1963 (MA63). Kami akan menunggu hasil perbincangan itu,” katanya kepada pemberita selepas mengumumkan prestasi kewangan syarikat, hari ini.

Sarawak adalah satu-satunya negeri pengeluar minyak yang mengadakan perbincangan dengan PETRONAS buat masa ini dan syarikat minyak dan gas nasional itu tidak terbabit dalam rundingan terhadap permintaan negeri itu untuk memperoleh royalti minyak yang lebih tinggi.

Kerajaan persekutuan berjanji untuk mengembalikan hak-hak Sabah dan Sarawak sebagai rakan kongsi yang sama-sama membentuk Malaysia selari dengan MA63, yang bermakna kedua-dua negeri itu mempunyai kuasa autonomi yang lebih terhadap beberapa perkara seperti industri minyak dan gas.

Sabah dan Sarawak menghasilkan kira-kira 60 peratus daripada jumlah pengeluaran petroleum negara, namun masing-masing menerima hanya lima peratus daripada hasil minyak.

Mengenai acara Formula 1 (F1) kembali ke Malaysia, Wan Zulkiflee berkata idea itu akan membawa kepada rundingan lebih panjang dengan penganjur.

Ditanya sama ada PETRONAS akan melangkah ke depan untuk menjadi penganjur acara sekiranya ia berlaku lagi, beliau berkata F1 adalah acara kerajaan.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, sebelum ini meluahkan harapan bahawa Grand Prix Malaysia akan kembali ke Litar Antarabangsa Sepang.

-BERNAMA

Source: https://www.bharian.com.my/bisnes/korporat/2019/03/538747/petronas-petros-teruskan-perbincangan

PETRONAS kekal pendirian sebagai pemilik eksklusif petroleum Malaysia

KUALA LUMPUR: PETRONAS kekal dengan pendiriannya bahawa ia memiliki pemilikan eksklusif sumber petroleum di Malaysia dan pengawal selia tunggal sektor huluan di negara ini.

“Melangkah ke hadapan, PETRONAS akan memantau keadaan dengan teliti, termasuk mendapatkan pandangan dan panduan dari kerajaan Malaysia, sebagai pemegang saham tunggal, dalam menjalankan tugas kami,” kata syarikat minyak negara itu dalam satu kenyataan, hari ini.

PETRONAS memberi maklum balas terhadap kenyataan yang dibuat Pejabat Ketua Menteri Sarawak semalam mengenai niat kerajaan negeri untuk menjalankan kuasa di bawah undang-undang negeri berkaitan aktiviti minyak dan gas di Sarawak.

Dalam kenyataan itu, kerajaan negeri Sarawak berkuatkuasa 1 Julai menggunakan kuasanya di bawah undang-undang negeri yang berkaitan, termasuk Ordinan Pengagihan Gas 2016.

Mengakui bahawa proses itu mungkin mengambil sedikit masa, kerajaan negeri berkata peserta industri dibenarkan untuk menjalankan perniagaan dan operasi mereka seperti biasa sehingga akhir 2019 sementara pada masa yang sama mengambil langkah-langkah yang perlu untuk memastikan pihak terbabit mematuhi undang-undang negeri.

Source: https://www.bharian.com.my/bisnes/korporat/2018/07/444254/petronas-kekal-pendirian-sebagai-pemilik-eksklusif-petroleum-malaysia

PETROS tak gugat kedudukan PETRONAS

KUALA LUMPUR: PETRONAS menegaskan kehadiran syarikat minyak dan gas baharu milik kerajaan negeri Sarawak, Petroleum Sarawak (PETROS), tidak akan menjejaskan kedudukan dan haknya sebagai pemilik serta penyelia sumber minyak dan gas (O&G) Malaysia seperti termaktub di bawah Akta Pembangunan Petroleum.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Wan Zulkiflee Wan Ariffin, berkata pihaknya sentiasa mengalu-alukan langkah kerajaan negeri atau mana-mana entiti milik kerajaan negeri menyertai sektor itu.

Katanya, penyertaan itu perlulah mengikut undang-undang dan mekanisme yang sudah ditetapkan bagi menjamin pembangunan sumber minyak dan gas di negara ini.

“Kami mempunyai hubungan rapat dengan kerajaan negeri (Sarawak), justeru kami sokong aspirasi mereka untuk terbabit secara aktif dalam sektor O&G di negara itu. Bahkan kami akan terus bekerjasama untuk kebaikan bersama.

“Mungkin, kerjasama kami dengan Petros akan sama seperti mana-mana kerjasama PETRONAS sebelum ini sama ada sebagai penyedia perkhidmatan atau rakan pelaburan kontrak perkongsian pengeluaran (PSC).

“Perkara ini masih dibincangkan dengan kerajaan negeri (Sarawak) dan ia memerlukan kedua-dua pihak untuk dilaksanakan,” katanya.

Mengenai sama ada beliau mengetahui permohonan royalti 20 peratus oleh PETROS, beliau berkata, PETRONAS tidak menerima permintaan berkaitan perkara itu daripada entiti baharu itu yang masih belum memiliki ketua eksekutif serta ahli lembaga pengarah.

“Berhubung isu 20 peratus royalti minyak ini, saya percaya semua pihak yang terbabit sangat memahami ia adalah satu urusan sukar.

“Untuk melakukannya di luar daripada kedudukan kita sekarang adalah terlalu sukar kerana terdapat banyak implikasi komersial yang tidak akan diingini semua pihak,” katanya.

Source: https://www.bharian.com.my/bisnes/korporat/2017/08/317523/petros-tak-gugat-kedudukan-petronas

PETROS kembalikan hak rakyat Sarawak: KM

KUCHING: Sarawak kini memiliki hak mengeksploitasi sumber semulajadi negeri ini sepenuhnya, termasuk industri minyak dan gas berikutan penubuhan syarikat milik kerajaan negeri, Petroleum Sarawak Berhad (PETROS).

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg, berkata penubuhan syarikat itu adalah kejayaan terbesar negeri ini dalam proses menuntut kembali hak dan keistimewaannya yang terhakis dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Selain itu, katanya, ia turut memperlihatkan hubungan utuh Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak melalui proses perundingan dijalankan sebelum ini, terutama membabitkan penurunan kuasa pentadbiran yang berkaitan.

Beliau berkata Datuk Seri Najib Razak, bersetuju menyerahkan kembali hak berkenaan kepada kerajaan negeri mengikut Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan kerana Perdana Menteri yakin ia mampu membawa lebih kemakmuran kepada Sarawak dan rakyatnya.

“Penubuhan PETROS sememangnya signifikan dalam usaha kita mempelopori usaha ini (mengembalikan hak dan keistimewaan negeri), termasuk proses penurunan kuasa yang dilaksanakan.

Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Dr Abang Johari Tun Openg menyempurnakan Majlis Pelancaran Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) di Hotel Pullman Kuching. – Foto Nadim Bokhari

“Kepada Datuk Seri Najib (Razak), terima kasih kerana sentiasa memberikan perhatian dan keutamaan terhadap setiap keperluan negeri ini dan ‘Anak Sarawak’, termasuk kesungguhan beliau merintis usaha memberikan kembali segala kuasa yang terhakis secara tidak sengaja sebelum ini,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Perancangan Ekonomi dan Sumber Asli Sarawak berkata demikian ketika menghadiri Majlis Perasmian PETROS di sebuah hotel terkemuka, di sini, malam ini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Menteri Datuk AmarDouglas Uggah Embas dan Pengerusi PETROS, Tan Sri Hamid Bugo.

Pada majlis sama, Abang Johari turut mengumumkan tokoh korporat dari etnik Bidayuh, Saau Kakok, sebagai Ketua Pegawai Eksekutif PETROS, anak syarikat milik penuh kerajaan negeri.

Dengan pengalaman 40 tahun dalam industri minyak dan gas membabitkan pelbagai portfolio, Saau diyakini mampu mengetuai operasi PETROS.

Abang Johari juga yakin penubuhan PETROS mampu membuka lembaran baharu dalam penerokaan industri minyak dan gas di Sarawak, sekali gus memberi impak positif kepada ekonomi dan pembangunan negeri.

“Penubuhan PETROS berupaya memperkukuhkan kedudukan negeri ini sebagai pemain utama industri minyak dan gas negara, merangkumi sektor huluan serta hiliran.

“Malah, PETROS turut menjalinkan kerjasama strategik dengan PETRONAS untuk terus meletakkan industri petroleum negeri terus berada pada landasan kukuh, selain kekal sebagai penyumbang ekonomi Sarawak,” katanya.

Source: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2018/03/396518/petros-kembalikan-hak-rakyat-sarawak-km

PETRONAS komited sokong industri minyak dan gas Sarawak

KUCHING: PETRONAS komited untuk menyokong aspirasi kerajaan negeri dalam membangunkan industri minyak dan gas untuk manfaat rakyat Sarawak dan negara.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin, berkata sejak 1974, tujuan syarikat minyak nasional itu diwujudkan ialah menjalankan tanggungjawabnya untuk membangunkan dan memaksimumkan nilai sumber hidrokarbon Malaysia untuk memanfaatkan tenaga yang baik bagi faedah bersama negara.

“Didorong oleh kepercayaan itu, PETRONAS amat berbangga untuk menjadi rakan kongsi yang sekian lama kepada Sarawak,” katanya dalam ucapan pada majlis pemeteraian perjanjian dagang Gas Domestik Sarawak di sini, hari ini.

Ia turut disaksikan oleh Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

Wan Zulkiflee berkata, pemeteraian menandakan satu episod baharu dalam kerjasama syarikat dengan Sarawak, yang mencerminkan komitmen PETRONAS untuk bekerjasama dan menyokong kerajaan negeri menerusi syarikat minyak dan gasnya, Petroleum Sarawak Bhd (Petros).

“Di bawah perancangan komersial itu, jualan dan belian perniagaan pengedaran gas dan aset di Miri dan Bintulu akan dilaksanakan oleh Petros, yang akan berperanan sebagai pengangkut dan aggregator gas, dan dilaksanakan oleh anak syarikatnya, Petros Gas,” katanya.

Selain itu, PETRONAS akan menyediakan bekalan gas asli jangka panjang untuk jualan Petros yang seterusnya kepada pelanggan mereka di Miri dan Bintulu.

Sebelum kerjasama hari ini, Wan Zulkiflee berkata PETRONAS telah memeterai kerjasama dengan Unit Perancangan Ekonomi Negeri dalam pembangunan Kajian Pelan Induk Petrokimia Sarawak, yang menunjukkan kemajuan yang amat baik.

“Skop kajian termasuklah pilihan pengewangan gas sebagai sebahagian daripada usaha kami untuk mempromosikan gas sebagai sumber tenaga yang bersih, selain meninjau pembangunan hab petrokimia dan infrastruktur utiliti yang berkaitan,” katanya.

-BERNAMA

Source: https://www.bharian.com.my/bisnes/korporat/2020/02/655085/petronas-komited-sokong-industri-minyak-dan-gas-sarawak

Rebut 10,000 peluang pekerjaan di TRACE 2019

KOTA SAMARAHAN: Sejumlah 10,000 peluang pekerjaan ditawarkan melalui Pameran Kerjaya dan Pengambilan Bakat (TRACE) 2019 yang diadakan selama dua hari, bermula hari ini, di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).

Pengarah Kanan Pusat Pembangunan Pelajar UNIMAS, Prof Dr Siti Raudzah Ghazali, berkata graduan diploma dan lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) boleh memohon pekerjaan dalam bidang kemahiran serta teknikal berdasarkan kelayakan masing-masing.

“Sebanyak 100 syarikat menyertai TRACE 2019 yang memasuki tahun keenam penganjurannya. Kita berharap graduan masih menganggur dan belum memiliki kerjaya merebut peluang memasuki pasaran kerja.

“Dalam pameran ini, pencari kerja mampu memilih pekerjaan bersesuaian dengan kelayakan akademik masing-masing,” katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran Pesta Kerjaya Atas Talian Sarawak sempena TRACE 2019 dan Anugerah Majikan Pilihan JobStreet.com 2019 di Pusat Perkhidmatan Maklumat Akademik (CAIS), UNIMAS, di sini, hari ini.

Pada majlis itu, 10 syarikat menerima Anugerah Majikan Pilihan JobStreet.com 2019 disampaikan Pengurus Negara JobStreet. com Malaysia, Gan Bock Herm iaitu AirAsia, Cahya Mata Sarawak (CMS), Maybank, Naim Holdings Berhad, PETRONAS, PETROS, Sarawak Energy Berhad (SEB), Shell, Shin Yang Group Of Companies dan Sime Darby Industrial.

Siti Raudzah berkata, sebahagian besar syarikat terbabit dalam TRACE 2019 berpangkalan di Sarawak dengan majoritinya terbabit dalam program Latihan Profesional Dan Pendidikan Bagi Perkembangan Usahawan (PROTEGE), di bawah program Kementerian Pembangunan Usahawan.

“Selain itu, ada juga syarikat dari Semenanjung turut serta dan dari luar negara seperti London Stock Exchange, berpangkalan di London, United Kingdom (UK),” katanya.

Beliau berkata, tahun lalu seramai 10,000 pelawat mengunjungi program itu dengan 25,000 pengunjung direkodkan pada 2017.

Source: https://www.bharian.com.my/berita/wilayah/2019/04/551255/rebut-10000-peluang-pekerjaan-di-trace-2019

Kerajaan lulus bina Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim, lebuh raya

ALOR SETAR: Kerajaan Pusat meluluskan tujuh projek dan program berimpak tinggi di Kedah bernilai lebih RM3.6 bilion, termasuk pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) yang membabitkan pelaburan luar berjumlah RM1.6 bilion.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, berkata semua projek itu diluluskan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ketika mempengerusikan Mesyuarat Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) pada Isnin lalu.

“Projek semua pembinaan infrastruktur itu dijangka mampu menjadi pemangkin kepada Kedah mencapai kemajuan setanding negeri maju lain,” katanya pada sidang media selepas majlis perjumpaan khas bersama pegawai dan kakitangan kerajaan negeri dan Persekutuan, di sini hari ini.

Selain KXP, beliau berkata, projek berimpak tinggi lain ialah pembinaan Lebuhraya Koridor Utara Fasa 1A (Bandar Baharu-Sungai Petani) dalam fasa satu serta Fasa 1B (Bandar Baharu-Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah) yang bernilai keseluruhan RM1.7 bilion dalam fasa kedua.

Katanya, pembangunan Hab Industri Pembuatan dan Logistik di Sidam dekat Kulim pula membabitkan peruntukan RM300 juta, manakala Program Kasih Ibu Darul Aman atau KIDA (RM30 juta), Perpustakaan Digital Alor Setar (RM15 juta) serta kajian pembinaan Taman Industri Petro-Kimia Gurun (RM2 juta).

“Antara teras Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-11 adalah merapatkan jurang antara wilayah, membabitkan Sarawak, Sabah, Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis agar tidak terpisah dari arus pembangunan negara.

“Untuk mendepani cabaran ekonomi semasa, kerajaan menggubal satu dasar ekonomi baharu berteraskan pertumbuhan, menjamin kesaksamaan dan nilai keadilan yang dikongsi bersama rakyat Malaysia,” katanya.

Mohamed Azmin berkata, kerajaan bersetuju memperkenalkan program KIDA membabitkan peruntukan RM30 juta setahun bagi menyediakan keperluan asas kepada keluarga miskin di Kedah, terutama di Baling, Sik, Yan dan Kota Setar.

“Sejumlah 5,482 keluarga miskin akan menerima kad pintar dengan jumlah kredit antara RM400 hingga RM500 sebulan bagi membolehkan mereka membeli barangan keperluan di pasar raya.

“Selain itu, Kementerian Hal Ehwal Ekonomi meluluskan lebih RM1.13 bilion sebagai Peruntukkan Pembangunan Negeri Kedah merangkumi 201 projek diteruskan dan 51 projek baharu,” katanya.

Mengenai cadangan pembinaan lebuh raya dari Kedah ke Perak tanpa melalui Pulau Pinang, beliau berkata, projek itu akan dilaksanakan di bawah Lebuhraya Koridor Utara Fasa 2 yang menghubungkan Changkat Jering dan Bandar Baharu.

“Kita bukan hanya mahu tumpu pembangunan di satu daerah, tetapi mengimbangi kemajuan ke kawasan yang belum dibangunkan, khususnya pedalaman.

“Pembangunan tempang tidak memberi manfaat kepada rakyat. Kita mahu khazanah Kedah dibawa masuk dan dicurah ke kawasan pedalaman kerana rakyat kampung juga berhak menikmatinya,” katanya.

Source: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2019/03/542948/kerajaan-lulus-bina-lapangan-terbang-antarabangsa-kulim-lebuh-raya

Latest Articles