Minyak dan gas bertahan maksimum 17 tahun

PETRA JAYA: Pengeluaran minyak dan gas Sarawak dianggarkan mampu bertahan antara 15 hingga 17 tahun akan datang berdasarkan kadar pengeluaran 5,000 juta kaki padu gas standard sehari (MMSCFD).

Menteri Muda Hubungan Korporat, Abdullah Saidol, berkata anggaran tempoh pengeluaran minyak dan gas itu dilakukan berdasarkan piawaian nisbah rizab kepada pengeluaran.

“Justeru, adalah penting bagi kerajaan negeri kembali mengawal sumber terbabit melalui PETROS, termasuk menguatkuasakan pengawasan dan melindungi kepentingan minyak dan gasnya.

“Sehingga kini, pendapatan yang dijangka diperoleh Sarawak bagi sumber minyak dan gas adalah dalam lingkungan RM3 hingga RM4 bilion setahun.

“Kerajaan negeri konsisten mengekalkan permintaan menaikkan royalti minyak sebanyak 20 peratus,” katanya ketika menjawab soalan Aidel Lariwoo (GPS- Sadong Jaya), di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di Kompleks DUN Sarawak, di sini hari ini.

Abdullah ketika mengulas lanjut, berkata Sarawak mempunyai 52.7 peratus rizab negara yang diketahui, selain berperanan menjadi pengeluar gas asli terbesar negara.

“Sarawak juga menjadi penyumbang terbesar melalui aliran pendapatan di loji Bintulu. Kerajaan negeri memberi mandat kepada PETROS untuk memainkansebagai pengawal selia utama dan menjadi pemain aktif dalam Kontrak Pengeluaran Bersama (PSC) gas di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata, PETROS akan memperkukuhkan pengawasan sumber gas menerusi Strategi Jaringan Bersepadu bertujuan mengimbangi bekalan huluan dengan penggunaan hiliran.

“Ketika ini, tumpuan PETROS adalah mensasarkan penyertaan PSC untuk menjana pendapatan di Sarawak. Tindakan itu penting kerana PSC sekarang ini dikawal sepenuhnya oleh PETRONAS,” katanya.

Source: https://www.bharian.com.my/berita/wilayah/2018/11/496138/minyak-dan-gas-bertahan-maksimum-17-tahun

Pasaran saham kekal dalam aliran meningkat

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia dijangka terus mendapat sokongan asas domestik yang kukuh pada separuh pertama tahun ini, meskipun tercetus aktiviti penjualan saham besar-besaran di pasaran Wall Street baru-baru ini yang menyaksikan indeks Dow Jones menjunam sehingga 1,600 mata.

Maybank Investment Bank (Maybank IB), berkata ia menjangkakan sentimen positif serta rangsangan fiskal pra- Pilihanraya Umum ke-14 dan kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) Bank Negara Malaysia (BNM) menjadi dua pemacu utama kepada kerancakan pelaburan.

“Rangsangan fiskal yang diterajui oleh pilihan raya umum akan menjurus kepada sektor pengguna di mana pertumbuhan dalam pendapatan boleh guna dijangka berterusan dan menerajui separuh pertama tahun ini. Kenaikan OPR juga akan memberi manfaat kepada bank.

“Selain itu, Maybank IB percaya kontraktor berpengalaman seperti Gamuda, IJM Corp, Sunway Construction dan Cahya Mata Sarawak berpotensi besar untuk meraih kontrak projek mega,” katanya dalam kenyataan di sini, baru-baru.

Menurut Maybank IB, sektor pelancongan pula akan dipacu oleh perbelanjaan tinggi pelancong berkualiti selain Tahun Melawat Malaysia 2020 dijangka memacu sektor berkenaan berdasarkan kejayaan dua program sama pada 2007 dan 2014.

“Pada 2007 dan 2014, kehadiran pelancong mencatat peningkatan masing-masing 19 peratus dan tujuh peratus tahun ke tahun, sementara perbelanjaan pelancong tumbuh 27 peratus dan 10 peratus,” katanya.

Firma pelaburan itu juga menjelaskan, pembangunan infrastruktur turut dijangka memacu aktiviti ekonomi di Sabah dan Sarawak serta Pantai Timur Semenanjung Malaysia.

“Projek Lebuhraya Pan Borneo, Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) akan memacu aktiviti ekonomi.

“Bagi Sarawak, Bank Pembangunan Sarawak dan PETROS (Petroleum Sarawak Bhd) serta di Sabah, Sabah International Petroleum Sdn Bhd juga bakal menjadi pemangkin,” katanya.

Maybank IB juga menjangka latar belakang makroekonomi Malaysia juga kekal kukuh tahun ini dengan unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) benar melepasi lima peratus, meneruskan momentum 5.3 peratus dari 2017.

“Pertumbuhan ini disokong momentum pertumbuhan perbelanjaan pengguna yang mapan, pertumbuhan pelaburan lebih kukuh dipacu projek pelaburan dan infrastruktur utama baharu serta sedia ada, dan lonjakan dalam perbelanjaan penggunaan kerajaan.

“Kami juga kekal optimistik terhadap ringgit dengan menyemak semula nilai mata wang tempatan berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada akhir 2018 kepada RM3.65 berbanding RM3.90 sebelum ini,” katanya.

Info

Maybank IB jangka nilai ringgit mengukuh kepada RM3.65 sedolar pada akhir 2018

Source: https://www.bharian.com.my/bisnes/pasaran/2018/02/388186/pasaran-saham-kekal-dalam-aliran-meningkat

PETROS kembalikan hak rakyat Sarawak: KM

KUCHING: Sarawak kini memiliki hak mengeksploitasi sumber semulajadi negeri ini sepenuhnya, termasuk industri minyak dan gas berikutan penubuhan syarikat milik kerajaan negeri, Petroleum Sarawak Berhad (PETROS).

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg, berkata penubuhan syarikat itu adalah kejayaan terbesar negeri ini dalam proses menuntut kembali hak dan keistimewaannya yang terhakis dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Selain itu, katanya, ia turut memperlihatkan hubungan utuh Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak melalui proses perundingan dijalankan sebelum ini, terutama membabitkan penurunan kuasa pentadbiran yang berkaitan.

Beliau berkata Datuk Seri Najib Razak, bersetuju menyerahkan kembali hak berkenaan kepada kerajaan negeri mengikut Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan kerana Perdana Menteri yakin ia mampu membawa lebih kemakmuran kepada Sarawak dan rakyatnya.

“Penubuhan PETROS sememangnya signifikan dalam usaha kita mempelopori usaha ini (mengembalikan hak dan keistimewaan negeri), termasuk proses penurunan kuasa yang dilaksanakan.

Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Dr Abang Johari Tun Openg menyempurnakan Majlis Pelancaran Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) di Hotel Pullman Kuching. – Foto Nadim Bokhari

“Kepada Datuk Seri Najib (Razak), terima kasih kerana sentiasa memberikan perhatian dan keutamaan terhadap setiap keperluan negeri ini dan ‘Anak Sarawak’, termasuk kesungguhan beliau merintis usaha memberikan kembali segala kuasa yang terhakis secara tidak sengaja sebelum ini,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Perancangan Ekonomi dan Sumber Asli Sarawak berkata demikian ketika menghadiri Majlis Perasmian PETROS di sebuah hotel terkemuka, di sini, malam ini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Menteri Datuk AmarDouglas Uggah Embas dan Pengerusi PETROS, Tan Sri Hamid Bugo.

Pada majlis sama, Abang Johari turut mengumumkan tokoh korporat dari etnik Bidayuh, Saau Kakok, sebagai Ketua Pegawai Eksekutif PETROS, anak syarikat milik penuh kerajaan negeri.

Dengan pengalaman 40 tahun dalam industri minyak dan gas membabitkan pelbagai portfolio, Saau diyakini mampu mengetuai operasi PETROS.

Abang Johari juga yakin penubuhan PETROS mampu membuka lembaran baharu dalam penerokaan industri minyak dan gas di Sarawak, sekali gus memberi impak positif kepada ekonomi dan pembangunan negeri.

“Penubuhan PETROS berupaya memperkukuhkan kedudukan negeri ini sebagai pemain utama industri minyak dan gas negara, merangkumi sektor huluan serta hiliran.

“Malah, PETROS turut menjalinkan kerjasama strategik dengan PETRONAS untuk terus meletakkan industri petroleum negeri terus berada pada landasan kukuh, selain kekal sebagai penyumbang ekonomi Sarawak,” katanya.

Source: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2018/03/396518/petros-kembalikan-hak-rakyat-sarawak-km

Sarawak teroka minyak di daratan

KOTA SAMARAHAN: Kerajaan Sarawak melalui anak syarikatnya, Petroleum Sarawak (PETROS) berhasrat meneroka aktiviti carigali minyak di kawasan daratan di negeri ini dengan memanfaatkan teknologi sama digunakan dalam industri petroleum di Asia Barat, khususnya di Oman.

Ketua Menteri, Datuk Amar Abang Johari Abang Openg, berkata ia sebahagian daripada usaha memperkukuhkan pertumbuhan industri petroleum negeri ini, susulan lawatan kerjanya ke Oman dan beberapa negara Asia Barat, termasuk Emiriah Arab Bersatu (UAE) minggu lalu.

“Kita melawat Oman yang begitu luas padang pasirnya, manakala di seberang lautnya pula ialah Iran. Di Oman, kita berpeluang meninjau kerja-kerja carigali minyak di padang pasir, menggunakan pelbagai teknologi terkini yang sesuai dipraktikkan di Sarawak.

“Menggunakan teknologi canggih itu, Oman mampu mengeluarkan jutaan tong minyak sehari dari telaga padang pasirnya. Atas sebab itu, kita turut membawa wakil PETROS untuk merintis teknologi sama kerana kemungkinan di bawah (daratan) Miri, kita turut memiliki sumber minyak,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Cawangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Zon 2 (Samarahan) di Dewan Suarah Kota Samarahan, di sini.

Abang Johari yang juga menteri bertanggungjawab terhadap sumber minyak dan gas negeri, berkata pendekatan terbaru itu diyakini mampu mengekalkan kedudukan industri petroleum sebagai penyumbang utama ekonomi negeri.

Malah, beliau melihat perkara itu sebahagian daripada usaha memastikan ekonomi negeri terus berada pada landasan kukuh, sekali gus kekal sebagai kuasa ekonomi utama di negara ini.

Pada masa yang sama, katanya, Kerajaan Sarawak juga sebagai mengenalpasti mekanisme baharu untuk pelaksanaan kutipan cukai terhadap pihak menjalankan aktiviti pengeluaran hasil petroleum di negeri ini.

“Ini penting supaya cukai itu dapat dimanfaatkan kerajaan negeri bagi menjalankan lebih banyak projek pembangunan yang berorientasikan kepentingan rakyat kita. ia termasuk pembinaan semula sekolah dan tadika usang yang masih banyak di seluruh negeri tanpa perlu menunggu peruntukan Kerajaan Pusat.

“Kita juga akan menggunakan sumber pendapatan cukai itu bagi menampung kos pembinaan sistem grid bekalan air paip negeri ini yang dijangka mencecah RM1 bilion bagi fasa pertamanya yang akan menyalurkan air bersih dari Empangan Hidro Batang Ai,” katanya.

Abang Johari berkata, inisiatif itu bagi mengatasi masalah bekalan air bersih yang masih berterusan berlaku di kebanyakan kampung dan rumah panjang di kawasan pedalaman dan luar bandar membabitkan Bahagian Samarahan hingga ke Sebuyau dan Tanjung Manis, Mukah.

“Kemudian, fasa seterusnya projek grid itu bagi menyalurkan air bersih dari Empangan Hidro Bakun dan Empangan Hidro Baleh, sekali gus menawarkan suasana kehidupan selesa kepada rakyat, khususnya masyarakat pedalaman dan luar bandar,” katanya.

Source: https://www.bharian.com.my/berita/wilayah/2018/01/378949/sarawak-teroka-minyak-di-daratan

Sarawak hargai usaha Najib, bukan cakap kosong

KUCHING: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berjaya membuktikan dirinya seorang pemimpin berwibawa dan bukan sekadar `cakap kosong’ apabila menunaikan janji mengembalikan hak dan keistimewaan negeri ini yang terhakis di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri James Jemut Masing, berkata inisiatif itu jelas memperlihatkan keterbukaan Najib dalam menangani isu berkenaan, selain turut membawa lebih banyak pembangunan ke negeri ini, sekali gus memperkasakan sosio-ekonomi rakyat.

“Datuk Seri Najib (Razak) mengakui ada hak dan keistimewaan negeri ini yang terhakis, malah sentiasa bersedia mengembalikannya melalui proses rundingan bersama kerajaan negeri.

“Beliau cukup komited dalam usaha berkenaan kerana menyedari kepentingan perkara itu dalam membawa kemakmuran berpanjangan kepada Sarawak dan rakyatnya. Beliau berjanji dan beliau melaksanakannya, bukan bercakap tanpa tindakan,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Diminta mengulas lanjut mengenai penubuhan Petroleum Sarawak Berhad (PETROS), Masing yang juga Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS), berkata, sudah tiba masa negeri ini mengeksploitasikan kekayaan sumber alamnya, terutama khazanah minyak dan gas.

Beliau menjelaskan melalui penubuhan syarikat milik penuh kerajaan negeri itu, Sarawak kini mempunyai akses dan kawalan sepenuhnya terhadap hasil bumi yang sebelum ini tidak dapat dilaksanakan.

“Usaha dilaksanakan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg dan Datuk Seri Najib (Razak) ini sangat signifikan dalam membuka lembaran baharu kepada negeri ini, terutama dalam menjadikan Sarawak sebagai pemain utama industri petroleum negara,” katanya.

Masing turut berharap pembangkang bersama Barisan Nasional (BN) Sarawak dalam usaha mendapatkan kembali semua hak dan keistimewaan negeri ini berdasarkan perkembangan positif proses perundingan yang berlangsung.

Malah, beliau mengambil pendirian optimistik, termasuk menjangka ada kemajuan lebih dalam penurunan kuasa berkenaan dan memerlukan sokongan semua pihak, termasuk pembangkang bagi mendokong usaha berkenaan.

“Ketika Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun, isu penurunan kuasa tidak berlaku, termasuk mengkaji semula hak Sarawak seperti yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan, malah ia satu perkara sensitif ketika itu.

“Namun, Datuk Seri Najib (Razak) mengambil pendekatan berbeza apabila membuka pintu rundingan untuk Kerajaan Pusat dan kerajaan negeri berbincang mengenainya, seterusnya mengambil kembali segala hak dan keistimewaan negeri yang terhakis selama ini,” katanya.

Bagi Masing, penubuhan syarikat petroleum itu juga antara kejayaan terbesar proses menuntut kembali hak dan keistimewaannya yang terhakis dalam MA63.

“Ini juga mudah dilakukan kerana hubungan erat Kerajaan Pusat dan kerajaan negeri melalui proses perundingan dijalankan sebelum ini, terutama membabitkan penurunan kuasa pentadbiran yang berkaitan.

“Penubuhan PETROS berupaya memperkukuhkan kedudukan negeri ini sebagai pemain utama industri minyak dan gas negara, merangkumi sektor huluan serta hiliran.” katanya.

Source: https://www.bharian.com.my/berita/wilayah/2018/03/396742/sarawak-hargai-usaha-najib-bukan-cakap-kosong

Abdul Taib yakin keupayaan Abang Jo

PETRA JAYA: Yang di-Pertua Negeri, Tun Abdul Taib Mahmud yakin Dasar Ekonomi Digital mampu meletakkan Sarawak di landasan tepat bagi mencapai kejayaan lebih besar pada masa depan.

Beliau berkata, ini kerana dasar yang diperkenalkan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg itu akan membuka lebih banyak peluang untuk generasi muda kita terbabit dalam bidang keusahawanan.

Abdul Taib menyatakan beliau yakin anak-anak muda Sarawak yang kreatif dan inovatif sesuai dengan kehendak era digital serta mampu mencipta nama dalam bidang masing-masing di peringkat antarabangsa.

“Anak-anak muda sebagai generasi pemimpin masa depan negeri kita ini harus merebut peluang yang disediakan oleh kerajaan untuk memperlengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran dalam teknologi digital.

“Saya juga amat mengharapkan agar semua pihak menghargai dan menyokong usaha dan inisiatif yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri agar ianya memberi manfaat kepada kita semua, katanya.

ABDUL Taib (tengah) bersama Abang Johari tiba di Istiadat Perbarisan dan Kawalan Kehormatan Utama, sempena Mesyuarat Khas Sambutan Ulang Tahun Ke-150 Dewan Undangan Negeri Sarawak. – Foto Nadim Bokhari

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Persidangan Khas Sempena Ulang Tahun Ke-150, Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini pagi tadi.

Semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sarawak kecuali Violet Yong (DAP – Pending) menghadiri persidangan khas berkenaan.

Abdul Taib menjelaskan era digital akan mengubah cara hidup dan bekerja, justeru beliau mahu rakyat negeri ini terus membina kekuatan dan jati diri dalam usaha mengejar pembangunan dan cabaran.

Berpengalaman 22 tahun sebagai Ketua Menteri Sarawak, beliau juga yakin pendekatan baharu pembangunan negeri diperkenalkan oleh kepimpinan Abang Johari, seperti penubuhan Bank Pembangunan Sarawak (DBOS), Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) dan Lembaga Multimedia Sarawak (SMA) akan menjadi pemangkin kepada pembangunan dan pertumbuhan ekonomi negeri.

“Malah, saya juga gembira kerana kepimpinan Abang Johari terus memperjuangkan hak dan kepentingan negeri Sarawak khususnya dalam konteks Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan hak-hak eksklusif terhadap persempadanan perairan laut dan sumber galian kita,” katanya.

DUN Sarawak adalah institusi perundangan tertua dan terbesar di negara ini ditubuhkan pada 8 September 1867 di Bintulu oleh Rajah Putih kedua, Charles Brooke.

Ketika itu, institusi penggubalan dasar pentadbiran dan perundangan negeri itu dikenali sebagai Majlis Umum sehinggalah ditukar kepada Majlis Negeri pada 1903.

Pada 1976, Majlis Negeri ditukar pula kepada DUN, selaras dengan nama institusi perundangan lain di negara ini.

Terdahulu, Abdul Taib menghadiri Istiadat Perbarisan dan Pemeriksaan Kawalan Kehormatan Utama oleh Batalion Ke-11, Pasukan Gerakan Am (PGA) di Dataran Perbarisan DUN Sarawak.

Source: https://www.bharian.com.my/berita/wilayah/2018/01/382467/abdul-taib-yakin-keupayaan-abang-jo

Penubuhan Petros buka pasaran minyak dan gas tempatan

KUALA LUMPUR: Penubuhan syarikat milik kerajaan negeri Sarawak, Petroleum Sarawak Bhd (Petros) akan terus membuka pasaran minyak dan gas tempatan serta berpotensi meningkatkan pelaburan langsung asing (FDI) ke dalam segmen berkenaan, demikian menurut Moody’s Investment Service Inc (Moody’s).

Naib Presiden Pegawai Kredit Kanan Kewangan Koporatnya, Vikas Halan, berkata adalah masih terlalu awal untuk mengatakan ada terdapat atau tidak impak ke atas output PETRONAS di Sarawak, namun apa yang dilihat penubuhan Petronas sudah pasti akan membuka lagi pasaran minyak dan gas tempatan.

“Ia perkembangan yang baik kerana dengan membuka lebih meluas pasaran minyak dan gas, potensi untuk menarik FDI lebih tinggi ke dalam segmen minyak dan gas juga berlaku,” katanya pada taklimat meja bulat ‘Moodys’ Inside Asean: Spotlight on Malaysia’ di sini, hari ini.

Beliau berkata, penubuhan Petros sepatutnya tidak dilihat sebagai ancaman kepada PETRONAS, atau dividen yang dibayar oleh firma minyak dan gas negara itu kepada kerajaan.

“Terdapat banyak negara lain yang mengendalikan pelbagai syarikat minyak dan gas seperti India dan China, yang masing-masing mempunyai antara dua hingga tiga syarikat. Persaingan adalah bagus kerana ia membolehkan firma ini berdaya saing dan berusaha.

“Dari segi bayaran dividen kepada kerajaan, masih terlalu awal untuk menjelaskannya, namun apa yang kami perhatikan sebelum ini adalah kerajaan menunjukkan daya tahan yang hebat pada 2015 dan 2016 apabila bayaran dividen jatuh ke paras RM16 bilion daripada RM30 bilion.

“Jika PETRONAS menyaksikan keuntungannya terjejas oleh Petros, saya pasti kerajaan akan mempamerkan daya tahannya juga,” katanya.

Mengulas lanjut, Vikas berkata setakat ini, PETRONAS masih memiliki hak eksklusif penerokaan di Sarawak oleh kerajaan persekutuan, di bawah Akta Pembangunan Petroleum 1974.

“Tidak terdapat perubahan dalam akta ini dan ada juga kemungkinan walaupun Petronas sudah memulakan usaha penerokaan, ia tidak akan mengganggu output sedia ada PETRONAS. Apa yang kami jangka berlaku adalah PETRONAS akan mengekalkan aktiviti huluan sedia ada dan keuntungannya, manakala Petros bebas meneroka dan menyimpan keuntungannya,” katanya.

Vikas berkata, buat masa sekarang, anggapan rasmi Moody’s adalah tiada perubahan ke atas akta berkenaan.

Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg, sebelum ini berkata Petros akan memulakan aktiviti penerokaannya di Miri pada Julai ini.

Moody’s menjangkakan harga minyak akan berada antara AS$45 dan AS$65 satu tong buat masa ini hingga 2019.

Ia tidak menjangkakan permintaan akan berkurangan di sebalik pelbagai kebimbangan berhubung alam sekitar.

“Dari segi tinjauan global, kami menjangkakan Amerika Syarikat (AS) akan menyumbang lebih tinggi pertumbuhan pengeluaran berbanding permintaan pada 2018 dan 2019.

“Bagaimanapun, Asia akan merangkumi hampir keseluruhan peningkatan permintaan, di sebalik kebimbangan berhubung alam sekitar,” katanya.

Source: https://www.bharian.com.my/bisnes/korporat/2018/03/402105/penubuhan-petros-buka-pasaran-minyak-dan-gas-tempatan

PETROS dijangka raih pendapatan RM2 bilion setahun

SIBU: Pendapatan RM2 bilion setahun dijangka diperoleh kerajaan negeri melalui peningkatan pegangan ekuiti sebanyak 25 peratus dalam Loji Gas Asli Cecair Malaysia (MNLG) 3 di Bintulu.

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg, berkata perolehan dividen itu membantu kerajaan negeri mempercepatkan pembangunan infrastruktur di seluruh negeri, khususnya di kawasan pedalaman dan luar bandar.

“Ini baru MLNG 3, di MLNG1 dan MLNG2, kita memiliki 10 peratus pegangan (saham). Keseluruhannya, Sarawak ada sembilan loji MNLG. Kita akan berunding untuk mengambil (pegangan) sedikit demi sedikit.

“Itu sebab kita tubuhkan PETROS (Petroleum Sarawak Berhad) supaya bila kita ada syarikat minyak sendiri, kita boleh bekerjasama dengan PETRONAS. Kalau PETROS kuat, ia boleh jadi seperti PETRONAS,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Seminar Pembangunan dan Kepimpinan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum Peringkat Negeri Sarawak 2018, di sini, hari ini.

Hadir sama Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Abang Johari yang Menteri Kewangan dan Perancangan Ekonomi Sarawak mendedahkan perolehan dividen itu membantu membiayai projek jalan pesisir sepanjang 900 kilometer yang sedang pembinaan jalanraya pesisir yang kini sedang giat dilaksanakan kerajaan negeri.

“Di jalanraya pesisir ini, ada beberapa jambatan panjang yang perlu kita bina di Sungai Batang Krian dan Sungai Batang Lassa. Ia membabitkan perbelanjaan tinggi, namun kita melaksanakannya kerana Barisan Nasional (BN) sentiasa mendengar denyut nadi rakyat.

“Kita juga mahu menggunakan hasil dari MLNG3 untuk membiayai Projek Grid Air Negeri bernilai RM7 bilion bagi membantu menyelesaikan masalah bekalan air yang masih banyak berlaku di pelbagai tempat di negeri ini,” katanya.

Beliau turut menyeru agar penduduk di Sibu memberikan sokongan kepada calon BN yang dipilih, sekali gus memastikan kemenangan besar dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

“Kita perlu memperkasa Sarawak dengan memenangkan calon BN kerana jika kita menang banyak kerusi, lebih mudah kita bersuara untuk menuntut kembali hak negeri dalam Perjanjian Malaysia 1963,” katanya.

Source: https://www.bharian.com.my/berita/wilayah/2018/04/417217/petros-dijangka-raih-pendapatan-rm2-bilion-setahun

PETRONAS tak ambil mudah kenaikan harga minyak

KUALA LUMPUR: Syarikat minyak negara, PETRONAS akan melabur dan berbelanja secara berhati-hati pada 2018 walaupun harga minyak dunia meningkat sejak beberapa bulan kebelakangan ini.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif, Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin, berkata PETRONAS sudah merangka bajet berdasarkan anggapan harga minyak di bawah AS$60 satu tong.

“Beberapa perunding mengunjurkan (harga) lebih tinggi daripada itu, namun kemudian menukar unjuran pada setiap tiga bulan. PETRONAS tidak boleh berbuat demikian. Kami perlu menjadi lebih berhemat,” katanya pada taklimat pengarang sebelum pengumuman keputusan kewangan tahunan PETRONAS, baru-baru ini.

Harga minyak pada masa ini berlegar kira-kira AS$67 satu tong, daripada paras terendah 52 minggu AS$45 satu tong. Harga minyak mencecah AS$70 pada awal tahun ini.

Wan Zulkiflee berkata, Indeks Kos Huluan Global, yang digunakan oleh sebahagian pelabur untuk menjejaki kos dalam sektor minyak dan gas (O&G), juga mula meningkat selepas susut sejak 2014.

“Inilah menjadi kebimbangan saya. Adalah bagus jika industri O&G kita tidak mengikuti trend sedemikian (kenaikan kos). Jika kita boleh lagi menjadi daya saing, kita boleh mendapatkan lebih banyak projek,” tambahnya.

Beliau mengakui bahawa dengan harga minyak lebih tinggi, beberapa penyedia perkhidmatan mungkin menjangkakan caj mereka akan sejajar meningkat, namun ia tidak semestinya berlaku.

Wan Zulkiflee berkata, penyedia perkhidmatan O&G sepatutnya tidak memandang caj mereka semata-mata, mengikut fungsi harga minyak.

“Saya berasakan kos adalah salah satu bahagian yang perlu diusahakan seluruh industri untuk menjadikan kita semua berdaya saing setinggi yang boleh. Inilah satu risiko yang saya bimbangi, iaitu ketidakcekapan akan mula berlaku sekali lagi,” katanya.

Beliau berkata, masih lagi ada lebihan kapasiti dalam industri perkhidmatan sokongan O&G, dan peserta industri agak lambat untuk melaksanakan proses pengukuhan atau penggabungan bagi meningkatkan kecekapan kos.

“Sebagai contoh, kita memiliki lebih 230 kapal luar pesisir di Malaysia. Ada 130 yang sedang beroperasi hari ini. Bakinya tidak, melainkan jika mereka menemui pekerjaan lain di rantau ini.

“Walaupun dengan 130 kapal sedang beroperasi, jika PETRONAS mahu terus mengoptimumkannya, masih ada lagi ruang. Masih ada yang banyak perlu dilakukan untuk menjadikan seluruh industri O&G Malaysia berdaya saing,” katanya.

Wan Zulkiflee berkata, pembabitan PETRONAS dalam Pakatan Pengurangan Kos (CORAL 2.0) menghasilkan penjimatan lebih daripada RM10 bilion sejak ia dimulakan pada 2015.

Program jangka panjang industri yang dipacu oleh PETRONAS untuk memupuk set pemikiran berlandaskan kos dalam kalangan peserta Upstream Malaysia juga menarik minat syarikat di Kanada dan Mozambique, antara lainnya.

“Ia penjimatan sebenar dan semuanya adalah mengenai tabiat. Sekarang ini kami berkongsi pelan, spesifikasi dan inventori gudang. Kami sudah melaksanakan perubahan berstruktur dari segi bagaimana industri berbelanja, hanya dengan berkongsi.

“Kami akan meneruskan CORAL dan berharap ini akan menjadi amalan ‘Perniagaan Seperti Biasa’,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, PETRONAS bersedia untuk bekerjasama dengan mana-mana entiti negeri bagi membangunkan sumber minyak dan gas, jika ia bersandarkan kepada rangka kerja kawal selia sedia ada.

Tahun lalu, Sarawak menubuhkan syarikat minyak dan gas milik kerajaan negeri, Petroleum Sarawak Bhd (Petros) bagi meneroka aktiviti huluan minyak dan gas.

Source: https://www.bharian.com.my/bisnes/korporat/2018/03/395758/petronas-tak-ambil-mudah-kenaikan-harga-minyak

Latest Articles