Sarawak, Oman teroka kerjasama petroleum, pembangunan tenaga

KUCHING: Sarawak meneroka kerjasama sektor hiliran industri minyak dan gas antarabangsa melalui dua memorandum persefahaman (MoU) ditandatangani bersama Petrotel Energy Oman (Petrotel) di Muscat, hari ini.

Ia bertujuan membuka laluan usaha sama dalam sektor minyak dan gas negeri, seiring kedudukan Sarawak sebagai pemain utama industri petroleum negara.

MoU pertama ditandatangani PTO, pemilik hak penerokaan dan pengeluaran sumber petroleum Oman, bersama South Sea Energy (SSE) yang memiliki kepentingan kerajaan negeri.

MoU kedua ditandatangani antara Petroleum Sarawak (PETROS), syarikat minyak dan gas milik penuh kerajaan Sarawak yang baru ditubuhkan, bersama SSE dan Petrotel.

PETROS diwakili Pengerusinya, Tan Sri Hamid Bugo, manakala SSE diwakili Presidennya, Lily Chin dan Petrotel diwakili Pengerusi merangkap Ketua Eksekutifnya, Dr Anil Chopra.

Ia turut disaksikan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg yang ketika ini mengetuai misi pelaburan dan perdagangan negeri ke Oman dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Abang Johari berkata, projek kerjasama itu membabitkan peluang usaha sama membangunkan sektor hiliran dalam industri minyak dan gas yang juga antara matlamat utama PETROS ditubuhkan.

Beliau yang turut bertanggungjawab terhadap portfolio pengurusan sumber petroleum negeri menjelaskan usaha sama berkenaan tentunya memberi impak positif terhadap pemain industri minyak dan gas dalam kalangan anak tempatan.

“Kita yakin Oman dan Sarawak dapat bekerjasama untuk manfaat bersama dengan mengambil kira masa depan yang cerah untuk produk petrokimia berdasarkan trend peralihan daripada enjin bahan bakar kepada kereta elektrik, selari dengan inisiatif industri 4.0 dan ekonomi digital.

“Oman dan Sarawak mempunyai beberapa persamaan dari segi demografi dan sebagai negara pengeluar minyak yang akan meningkatkan hubungan dua hala antara kedua-dua ekonomi,” katanya dalam satu kenyataan dari Muscat.

Terdahulu, Abang Johari mengetuai delegasi Kerajaan Sarawak melakukan kunjungan hormat ke atas Menteri Minyak dan Gas Oman, Dr Mohammed Hamad Al Rumhi di pejabatnya.

Beliau turut diiringi Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Mohamad Morshidi Abdul Ghani.

Source: https://www.bharian.com.my/bisnes/lain-lain/2018/01/376824/sarawak-oman-teroka-kerjasama-petroleum-pembangunan-tenaga

Abang Jo demi kegemilangan Sarawak

KUCHING: Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg yang genap setahun menggalas tanggungjawab itu hari ini, berjaya melaksanakan pelbagai inisiatif ke arah pemodenan negeri, sekali gus memperkasa sosioekonomi rakyat.

Sejurus mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Sarawak Ke-6 pada 13 Januari tahun lalu, pelbagai transformasi dilaksanakan Abang Johari, termasuk meneruskan legasi ditinggalkan Allahyarham Tan Sri Adenan Satem.

Hampir segenap pelusuk negeri sudah dilawatinya bagi meneruskan agenda utama merapatkan jurang pembangunan antara kawasan bandar dan luar bandar.

Ia membabitkan pembinaan pelbagai infrastruktur berorientasikan kepentingan rakyat termasuk Projek Lebuhraya Pan Borneo, jalan pesisir, laluan penghubung antara kampung, jambatan, bekalan air dan elektrik, selain sistem telekomunikasi.

Usaha itu memerlukan proses berperingkat berikutan saiz Sarawak yang lebih besar dari Semenanjung, selain cabaran geografi bergunung-ganang dan memiliki banyak sungai.

Teruskan usaha dirintis Adenan

Abang Johari juga meneruskan usaha dirintis Adenan khusus dalam mengembalikan hak dan keistimewaan Sarawak seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) daripada Kerajaan Persekutuan.

Bagaimanapun, beliau mempunyai cara tersendiri memperlihatkan dirinya bukan ‘klon’ Adenan apabila memperkenalkan Dasar Ekonomi Digital, sekali gus mencetuskan fenomena baharu hingga dikagumi kepemimpinan Pusat, khususnya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Sebagai pemimpin generasi baharu, Abang Johari tampil dengan cara tersendiri memacu pembangunan negeri ini ke arah pemodenan, sekali gus memberi impak positif kepada sosioekonomi rakyat bagi jangka panjang.

Ia seiring perubahan global terutama dengan ledakan teknologi komunikasi dan maklumat (ICT), sekali gus mewujudkan perubahan era digital dan dunia tanpa sempadan.

“Dari sudut ekonomi, saya ada model sendiri, sebab itu saya unjurkan ekonomi digital. Jika mahu membangun negeri dengan pendapatan tinggi, kita mesti mempunyai prasarana moden menggerakkan ekonomi moden,” katanya.

Abang Johari berkata, beliau perlu memanfaatkan kecanggihan teknologi dan mahu generasi baharu ‘Anak Sarawak’ terdedah kepada kemajuan era digital.

“Paling penting, kita naikkan taraf platform dan prasarana teknologi ini kerana kelajuan internet turut mengubah ekosistem di bandar dan luar bandar Sarawak,” katanya.

Susulan itu, beliau mengambil inisiatif menganjurkan Persidangan Antarabangsa ICT, Prasarana dan Ekonomi Digital Sarawak 2017 (IDECS 2017) di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), April tahun lalu.

Bangunkan ekosistem digital

Melalui IDECS, pendekatan membangunkan ekosistem digital bermula dengan langkah proaktif menaik taraf infrastruktur telekomunikasi di seluruh negeri melalui peruntukan RM1 bilion.

Abang Johari berkata, tempoh setahun pertama menggalas jawatan nombor satu negeri itu banyak dimanfaatkan bagi merangka dan merancang ekonomi Sarawak, malah terus agresif menyusun langkah pada tahun kedua ini.

“Kita menubuhkan Lembaga Multimedia Sarawak (SMA) yang menggubal dasar bagi mewujudkan ekosistem digital lebih inklusif dan efisien bagi menampung keperluan negeri,” katanya..

Menceburi politik sejak 34 tahun lalu, Abang Johari berkata, perubahan yang berlaku perlu dihadapi untuk kekal relevan dengan kehendak semasa.

Malah, beliau menggariskan tiga elemen penting generasi baharu era digital, khususnya mengubah budaya berfikir dengan input baharu.

“Generasi baharu berada pada zon penuh cabaran dan persaingan. Jadi, kita wajar melahirkan gagasan baharu dalam ekosistem serba baharu,” katanya.

Abang Johari berkata, beliau menubuhkan Bank Pembangunan Sarawak (DBOS) demi merealisasi dan menjana ekonomi, termasuk menceburi industri minyak dan gas yang dapat memberi keuntungan kepada kerajaan serta negeri ini.

“Selepas DBOS, kita tubuhkan Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) milik 100 peratus kerajaan negeri dan agensi yang dapat membabitkan diri dalam industri minyak dan gas hiliran,” katanya.

Selain PETROS, beliau mahu melaksanakan perubahan landskap sosial rakyat melalui pembinaan Sistem Transit Aliran Ringan (LRT), dengan menjadikan bandar raya Kuching sebagai model perintis, seterusnya diperluaskan hingga ke Bau, Serian, Samarahan dan Damai, Santubong.

Katanya, penduduk negeri mencecah 2.7 juta orang dengan sepertiga daripadanya di Kuching, menyebabkan idea mewujudkan LRT adalah logik dan rasional.

“Dengan menggerakkan ekonomi melalui sektor perkhidmatan, ia bakal melonjakkan sistem pengangkutan awam dan pembangunan perumahan di Sarawak.

“Kewujudan prasarana ini juga mampu mewujudkan kuasa beli tinggi, seterusnya menyumbang Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sehingga 6 peratus di negeri ini, sekali gus mampu menjadikan Sarawak negeri maju berpendapatan tinggi menjelang 2030,” katanya.

Source: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2018/01/374765/abang-jo-demi-kegemilangan-sarawak

PETROS tak gugat kedudukan PETRONAS

KUALA LUMPUR: PETRONAS menegaskan kehadiran syarikat minyak dan gas baharu milik kerajaan negeri Sarawak, Petroleum Sarawak (PETROS), tidak akan menjejaskan kedudukan dan haknya sebagai pemilik serta penyelia sumber minyak dan gas (O&G) Malaysia seperti termaktub di bawah Akta Pembangunan Petroleum.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Wan Zulkiflee Wan Ariffin, berkata pihaknya sentiasa mengalu-alukan langkah kerajaan negeri atau mana-mana entiti milik kerajaan negeri menyertai sektor itu.

Katanya, penyertaan itu perlulah mengikut undang-undang dan mekanisme yang sudah ditetapkan bagi menjamin pembangunan sumber minyak dan gas di negara ini.

“Kami mempunyai hubungan rapat dengan kerajaan negeri (Sarawak), justeru kami sokong aspirasi mereka untuk terbabit secara aktif dalam sektor O&G di negara itu. Bahkan kami akan terus bekerjasama untuk kebaikan bersama.

“Mungkin, kerjasama kami dengan Petros akan sama seperti mana-mana kerjasama PETRONAS sebelum ini sama ada sebagai penyedia perkhidmatan atau rakan pelaburan kontrak perkongsian pengeluaran (PSC).

“Perkara ini masih dibincangkan dengan kerajaan negeri (Sarawak) dan ia memerlukan kedua-dua pihak untuk dilaksanakan,” katanya.

Mengenai sama ada beliau mengetahui permohonan royalti 20 peratus oleh PETROS, beliau berkata, PETRONAS tidak menerima permintaan berkaitan perkara itu daripada entiti baharu itu yang masih belum memiliki ketua eksekutif serta ahli lembaga pengarah.

“Berhubung isu 20 peratus royalti minyak ini, saya percaya semua pihak yang terbabit sangat memahami ia adalah satu urusan sukar.

“Untuk melakukannya di luar daripada kedudukan kita sekarang adalah terlalu sukar kerana terdapat banyak implikasi komersial yang tidak akan diingini semua pihak,” katanya.

Source: https://www.bharian.com.my/bisnes/korporat/2017/08/317523/petros-tak-gugat-kedudukan-petronas

Petros untuk runding royalti lebih tinggi

KUCHING: Penubuhan Petroleum Sarawak (Petros) yang dijangka beroperasi awal tahun depan adalah antara inisiatif kerajaan negeri untuk meneroka ruang bagi memperoleh lebih banyak royalti daripada hasil minyak dan gasnya.

Ketua Menteri, Datuk Amar Abang Johari Abang Openg, berkata rundingan royalti minyak dan gas sebanyak 20 peratus masih belum selesai berikutan ketidaktentuan ekonomi, selain harga minyak yang tidak stabil.

“Justeru, minggu hadapan saya akan menamakan lima Ahli Lembaga Pengarah Petros dan mereka ini akan bermesyuarat untuk memilih Ketua Pegawai Eksekutif (CEO).

“Bagaimanapun, masih di peringkat awal untuk memperincikan peranan sebenar Petros, …ia akan diperjelaskan bila tiba masanya,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan Majlis memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) antara PETRONAS dan Perbadanan Urusan Kejuruteraan dan Limbungan Brooke, di sini.

MoU berkenaan bagi membangunkan semula pelantar minyak Fasa 3 Bokor yang berada 45 kilometer barat laut Lutong Miri, yang bernilai RM480 juta.

Dalam majlis itu, PETRONAS diwakili Naib Presiden Pengeluaran, Pembangunan dan Aset Malaysia, Mohd Jukris Wahab, manakala Perbadanan Urusan Kejuruteraan dan Limbungan Brooke, diwakili Pengurus Besar, Norhizan Sazali.

Turut hadir, Menteri Muda Pengangkutan Sarawak, Datuk Dr Jerip Susil; Presiden dan CEO Kumpulan PETRONAS, Datuk Wan Zulkiflee Wan Ariffin.

Mengulas lanjut, beliau berkata, berkata kerajaan negeri memahami peranan PETRONAS sebagai ‘jurubank’ kepada kerajaan Persekutuan, namun syarikat minyak negara itu juga perlu memastikan hak Sarawak turut diberikan secara adil.

Source: https://www.bharian.com.my/bisnes/pasaran/2017/08/314123/petros-untuk-runding-royalti-lebih-tinggi

Latest Articles