Abang Jo demi kegemilangan Sarawak

KUCHING: Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg yang genap setahun menggalas tanggungjawab itu hari ini, berjaya melaksanakan pelbagai inisiatif ke arah pemodenan negeri, sekali gus memperkasa sosioekonomi rakyat.

Sejurus mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Sarawak Ke-6 pada 13 Januari tahun lalu, pelbagai transformasi dilaksanakan Abang Johari, termasuk meneruskan legasi ditinggalkan Allahyarham Tan Sri Adenan Satem.

Hampir segenap pelusuk negeri sudah dilawatinya bagi meneruskan agenda utama merapatkan jurang pembangunan antara kawasan bandar dan luar bandar.

Ia membabitkan pembinaan pelbagai infrastruktur berorientasikan kepentingan rakyat termasuk Projek Lebuhraya Pan Borneo, jalan pesisir, laluan penghubung antara kampung, jambatan, bekalan air dan elektrik, selain sistem telekomunikasi.

Usaha itu memerlukan proses berperingkat berikutan saiz Sarawak yang lebih besar dari Semenanjung, selain cabaran geografi bergunung-ganang dan memiliki banyak sungai.

Teruskan usaha dirintis Adenan

Abang Johari juga meneruskan usaha dirintis Adenan khusus dalam mengembalikan hak dan keistimewaan Sarawak seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) daripada Kerajaan Persekutuan.

Bagaimanapun, beliau mempunyai cara tersendiri memperlihatkan dirinya bukan ‘klon’ Adenan apabila memperkenalkan Dasar Ekonomi Digital, sekali gus mencetuskan fenomena baharu hingga dikagumi kepemimpinan Pusat, khususnya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Sebagai pemimpin generasi baharu, Abang Johari tampil dengan cara tersendiri memacu pembangunan negeri ini ke arah pemodenan, sekali gus memberi impak positif kepada sosioekonomi rakyat bagi jangka panjang.

Ia seiring perubahan global terutama dengan ledakan teknologi komunikasi dan maklumat (ICT), sekali gus mewujudkan perubahan era digital dan dunia tanpa sempadan.

“Dari sudut ekonomi, saya ada model sendiri, sebab itu saya unjurkan ekonomi digital. Jika mahu membangun negeri dengan pendapatan tinggi, kita mesti mempunyai prasarana moden menggerakkan ekonomi moden,” katanya.

Abang Johari berkata, beliau perlu memanfaatkan kecanggihan teknologi dan mahu generasi baharu ‘Anak Sarawak’ terdedah kepada kemajuan era digital.

“Paling penting, kita naikkan taraf platform dan prasarana teknologi ini kerana kelajuan internet turut mengubah ekosistem di bandar dan luar bandar Sarawak,” katanya.

Susulan itu, beliau mengambil inisiatif menganjurkan Persidangan Antarabangsa ICT, Prasarana dan Ekonomi Digital Sarawak 2017 (IDECS 2017) di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), April tahun lalu.

Bangunkan ekosistem digital

Melalui IDECS, pendekatan membangunkan ekosistem digital bermula dengan langkah proaktif menaik taraf infrastruktur telekomunikasi di seluruh negeri melalui peruntukan RM1 bilion.

Abang Johari berkata, tempoh setahun pertama menggalas jawatan nombor satu negeri itu banyak dimanfaatkan bagi merangka dan merancang ekonomi Sarawak, malah terus agresif menyusun langkah pada tahun kedua ini.

“Kita menubuhkan Lembaga Multimedia Sarawak (SMA) yang menggubal dasar bagi mewujudkan ekosistem digital lebih inklusif dan efisien bagi menampung keperluan negeri,” katanya..

Menceburi politik sejak 34 tahun lalu, Abang Johari berkata, perubahan yang berlaku perlu dihadapi untuk kekal relevan dengan kehendak semasa.

Malah, beliau menggariskan tiga elemen penting generasi baharu era digital, khususnya mengubah budaya berfikir dengan input baharu.

“Generasi baharu berada pada zon penuh cabaran dan persaingan. Jadi, kita wajar melahirkan gagasan baharu dalam ekosistem serba baharu,” katanya.

Abang Johari berkata, beliau menubuhkan Bank Pembangunan Sarawak (DBOS) demi merealisasi dan menjana ekonomi, termasuk menceburi industri minyak dan gas yang dapat memberi keuntungan kepada kerajaan serta negeri ini.

“Selepas DBOS, kita tubuhkan Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) milik 100 peratus kerajaan negeri dan agensi yang dapat membabitkan diri dalam industri minyak dan gas hiliran,” katanya.

Selain PETROS, beliau mahu melaksanakan perubahan landskap sosial rakyat melalui pembinaan Sistem Transit Aliran Ringan (LRT), dengan menjadikan bandar raya Kuching sebagai model perintis, seterusnya diperluaskan hingga ke Bau, Serian, Samarahan dan Damai, Santubong.

Katanya, penduduk negeri mencecah 2.7 juta orang dengan sepertiga daripadanya di Kuching, menyebabkan idea mewujudkan LRT adalah logik dan rasional.

“Dengan menggerakkan ekonomi melalui sektor perkhidmatan, ia bakal melonjakkan sistem pengangkutan awam dan pembangunan perumahan di Sarawak.

“Kewujudan prasarana ini juga mampu mewujudkan kuasa beli tinggi, seterusnya menyumbang Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sehingga 6 peratus di negeri ini, sekali gus mampu menjadikan Sarawak negeri maju berpendapatan tinggi menjelang 2030,” katanya.

Source: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2018/01/374765/abang-jo-demi-kegemilangan-sarawak

Minyak dan gas bertahan maksimum 17 tahun

PETRA JAYA: Pengeluaran minyak dan gas Sarawak dianggarkan mampu bertahan antara 15 hingga 17 tahun akan datang berdasarkan kadar pengeluaran 5,000 juta kaki padu gas standard sehari (MMSCFD).

Menteri Muda Hubungan Korporat, Abdullah Saidol, berkata anggaran tempoh pengeluaran minyak dan gas itu dilakukan berdasarkan piawaian nisbah rizab kepada pengeluaran.

“Justeru, adalah penting bagi kerajaan negeri kembali mengawal sumber terbabit melalui PETROS, termasuk menguatkuasakan pengawasan dan melindungi kepentingan minyak dan gasnya.

“Sehingga kini, pendapatan yang dijangka diperoleh Sarawak bagi sumber minyak dan gas adalah dalam lingkungan RM3 hingga RM4 bilion setahun.

“Kerajaan negeri konsisten mengekalkan permintaan menaikkan royalti minyak sebanyak 20 peratus,” katanya ketika menjawab soalan Aidel Lariwoo (GPS- Sadong Jaya), di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di Kompleks DUN Sarawak, di sini hari ini.

Abdullah ketika mengulas lanjut, berkata Sarawak mempunyai 52.7 peratus rizab negara yang diketahui, selain berperanan menjadi pengeluar gas asli terbesar negara.

“Sarawak juga menjadi penyumbang terbesar melalui aliran pendapatan di loji Bintulu. Kerajaan negeri memberi mandat kepada PETROS untuk memainkansebagai pengawal selia utama dan menjadi pemain aktif dalam Kontrak Pengeluaran Bersama (PSC) gas di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata, PETROS akan memperkukuhkan pengawasan sumber gas menerusi Strategi Jaringan Bersepadu bertujuan mengimbangi bekalan huluan dengan penggunaan hiliran.

“Ketika ini, tumpuan PETROS adalah mensasarkan penyertaan PSC untuk menjana pendapatan di Sarawak. Tindakan itu penting kerana PSC sekarang ini dikawal sepenuhnya oleh PETRONAS,” katanya.

Source: https://www.bharian.com.my/berita/wilayah/2018/11/496138/minyak-dan-gas-bertahan-maksimum-17-tahun

Petros untuk runding royalti lebih tinggi

KUCHING: Penubuhan Petroleum Sarawak (Petros) yang dijangka beroperasi awal tahun depan adalah antara inisiatif kerajaan negeri untuk meneroka ruang bagi memperoleh lebih banyak royalti daripada hasil minyak dan gasnya.

Ketua Menteri, Datuk Amar Abang Johari Abang Openg, berkata rundingan royalti minyak dan gas sebanyak 20 peratus masih belum selesai berikutan ketidaktentuan ekonomi, selain harga minyak yang tidak stabil.

“Justeru, minggu hadapan saya akan menamakan lima Ahli Lembaga Pengarah Petros dan mereka ini akan bermesyuarat untuk memilih Ketua Pegawai Eksekutif (CEO).

“Bagaimanapun, masih di peringkat awal untuk memperincikan peranan sebenar Petros, …ia akan diperjelaskan bila tiba masanya,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan Majlis memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) antara PETRONAS dan Perbadanan Urusan Kejuruteraan dan Limbungan Brooke, di sini.

MoU berkenaan bagi membangunkan semula pelantar minyak Fasa 3 Bokor yang berada 45 kilometer barat laut Lutong Miri, yang bernilai RM480 juta.

Dalam majlis itu, PETRONAS diwakili Naib Presiden Pengeluaran, Pembangunan dan Aset Malaysia, Mohd Jukris Wahab, manakala Perbadanan Urusan Kejuruteraan dan Limbungan Brooke, diwakili Pengurus Besar, Norhizan Sazali.

Turut hadir, Menteri Muda Pengangkutan Sarawak, Datuk Dr Jerip Susil; Presiden dan CEO Kumpulan PETRONAS, Datuk Wan Zulkiflee Wan Ariffin.

Mengulas lanjut, beliau berkata, berkata kerajaan negeri memahami peranan PETRONAS sebagai ‘jurubank’ kepada kerajaan Persekutuan, namun syarikat minyak negara itu juga perlu memastikan hak Sarawak turut diberikan secara adil.

Source: https://www.bharian.com.my/bisnes/pasaran/2017/08/314123/petros-untuk-runding-royalti-lebih-tinggi

PETRONAS kekal pendirian sebagai pemilik eksklusif petroleum Malaysia

KUALA LUMPUR: PETRONAS kekal dengan pendiriannya bahawa ia memiliki pemilikan eksklusif sumber petroleum di Malaysia dan pengawal selia tunggal sektor huluan di negara ini.

“Melangkah ke hadapan, PETRONAS akan memantau keadaan dengan teliti, termasuk mendapatkan pandangan dan panduan dari kerajaan Malaysia, sebagai pemegang saham tunggal, dalam menjalankan tugas kami,” kata syarikat minyak negara itu dalam satu kenyataan, hari ini.

PETRONAS memberi maklum balas terhadap kenyataan yang dibuat Pejabat Ketua Menteri Sarawak semalam mengenai niat kerajaan negeri untuk menjalankan kuasa di bawah undang-undang negeri berkaitan aktiviti minyak dan gas di Sarawak.

Dalam kenyataan itu, kerajaan negeri Sarawak berkuatkuasa 1 Julai menggunakan kuasanya di bawah undang-undang negeri yang berkaitan, termasuk Ordinan Pengagihan Gas 2016.

Mengakui bahawa proses itu mungkin mengambil sedikit masa, kerajaan negeri berkata peserta industri dibenarkan untuk menjalankan perniagaan dan operasi mereka seperti biasa sehingga akhir 2019 sementara pada masa yang sama mengambil langkah-langkah yang perlu untuk memastikan pihak terbabit mematuhi undang-undang negeri.

Source: https://www.bharian.com.my/bisnes/korporat/2018/07/444254/petronas-kekal-pendirian-sebagai-pemilik-eksklusif-petroleum-malaysia

Rebut 10,000 peluang pekerjaan di TRACE 2019

KOTA SAMARAHAN: Sejumlah 10,000 peluang pekerjaan ditawarkan melalui Pameran Kerjaya dan Pengambilan Bakat (TRACE) 2019 yang diadakan selama dua hari, bermula hari ini, di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).

Pengarah Kanan Pusat Pembangunan Pelajar UNIMAS, Prof Dr Siti Raudzah Ghazali, berkata graduan diploma dan lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) boleh memohon pekerjaan dalam bidang kemahiran serta teknikal berdasarkan kelayakan masing-masing.

“Sebanyak 100 syarikat menyertai TRACE 2019 yang memasuki tahun keenam penganjurannya. Kita berharap graduan masih menganggur dan belum memiliki kerjaya merebut peluang memasuki pasaran kerja.

“Dalam pameran ini, pencari kerja mampu memilih pekerjaan bersesuaian dengan kelayakan akademik masing-masing,” katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran Pesta Kerjaya Atas Talian Sarawak sempena TRACE 2019 dan Anugerah Majikan Pilihan JobStreet.com 2019 di Pusat Perkhidmatan Maklumat Akademik (CAIS), UNIMAS, di sini, hari ini.

Pada majlis itu, 10 syarikat menerima Anugerah Majikan Pilihan JobStreet.com 2019 disampaikan Pengurus Negara JobStreet. com Malaysia, Gan Bock Herm iaitu AirAsia, Cahya Mata Sarawak (CMS), Maybank, Naim Holdings Berhad, PETRONAS, PETROS, Sarawak Energy Berhad (SEB), Shell, Shin Yang Group Of Companies dan Sime Darby Industrial.

Siti Raudzah berkata, sebahagian besar syarikat terbabit dalam TRACE 2019 berpangkalan di Sarawak dengan majoritinya terbabit dalam program Latihan Profesional Dan Pendidikan Bagi Perkembangan Usahawan (PROTEGE), di bawah program Kementerian Pembangunan Usahawan.

“Selain itu, ada juga syarikat dari Semenanjung turut serta dan dari luar negara seperti London Stock Exchange, berpangkalan di London, United Kingdom (UK),” katanya.

Beliau berkata, tahun lalu seramai 10,000 pelawat mengunjungi program itu dengan 25,000 pengunjung direkodkan pada 2017.

Source: https://www.bharian.com.my/berita/wilayah/2019/04/551255/rebut-10000-peluang-pekerjaan-di-trace-2019

Sarawak hargai usaha Najib, bukan cakap kosong

KUCHING: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berjaya membuktikan dirinya seorang pemimpin berwibawa dan bukan sekadar `cakap kosong’ apabila menunaikan janji mengembalikan hak dan keistimewaan negeri ini yang terhakis di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri James Jemut Masing, berkata inisiatif itu jelas memperlihatkan keterbukaan Najib dalam menangani isu berkenaan, selain turut membawa lebih banyak pembangunan ke negeri ini, sekali gus memperkasakan sosio-ekonomi rakyat.

“Datuk Seri Najib (Razak) mengakui ada hak dan keistimewaan negeri ini yang terhakis, malah sentiasa bersedia mengembalikannya melalui proses rundingan bersama kerajaan negeri.

“Beliau cukup komited dalam usaha berkenaan kerana menyedari kepentingan perkara itu dalam membawa kemakmuran berpanjangan kepada Sarawak dan rakyatnya. Beliau berjanji dan beliau melaksanakannya, bukan bercakap tanpa tindakan,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Diminta mengulas lanjut mengenai penubuhan Petroleum Sarawak Berhad (PETROS), Masing yang juga Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS), berkata, sudah tiba masa negeri ini mengeksploitasikan kekayaan sumber alamnya, terutama khazanah minyak dan gas.

Beliau menjelaskan melalui penubuhan syarikat milik penuh kerajaan negeri itu, Sarawak kini mempunyai akses dan kawalan sepenuhnya terhadap hasil bumi yang sebelum ini tidak dapat dilaksanakan.

“Usaha dilaksanakan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg dan Datuk Seri Najib (Razak) ini sangat signifikan dalam membuka lembaran baharu kepada negeri ini, terutama dalam menjadikan Sarawak sebagai pemain utama industri petroleum negara,” katanya.

Masing turut berharap pembangkang bersama Barisan Nasional (BN) Sarawak dalam usaha mendapatkan kembali semua hak dan keistimewaan negeri ini berdasarkan perkembangan positif proses perundingan yang berlangsung.

Malah, beliau mengambil pendirian optimistik, termasuk menjangka ada kemajuan lebih dalam penurunan kuasa berkenaan dan memerlukan sokongan semua pihak, termasuk pembangkang bagi mendokong usaha berkenaan.

“Ketika Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun, isu penurunan kuasa tidak berlaku, termasuk mengkaji semula hak Sarawak seperti yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan, malah ia satu perkara sensitif ketika itu.

“Namun, Datuk Seri Najib (Razak) mengambil pendekatan berbeza apabila membuka pintu rundingan untuk Kerajaan Pusat dan kerajaan negeri berbincang mengenainya, seterusnya mengambil kembali segala hak dan keistimewaan negeri yang terhakis selama ini,” katanya.

Bagi Masing, penubuhan syarikat petroleum itu juga antara kejayaan terbesar proses menuntut kembali hak dan keistimewaannya yang terhakis dalam MA63.

“Ini juga mudah dilakukan kerana hubungan erat Kerajaan Pusat dan kerajaan negeri melalui proses perundingan dijalankan sebelum ini, terutama membabitkan penurunan kuasa pentadbiran yang berkaitan.

“Penubuhan PETROS berupaya memperkukuhkan kedudukan negeri ini sebagai pemain utama industri minyak dan gas negara, merangkumi sektor huluan serta hiliran.” katanya.

Source: https://www.bharian.com.my/berita/wilayah/2018/03/396742/sarawak-hargai-usaha-najib-bukan-cakap-kosong

PETRONAS tak ambil mudah kenaikan harga minyak

KUALA LUMPUR: Syarikat minyak negara, PETRONAS akan melabur dan berbelanja secara berhati-hati pada 2018 walaupun harga minyak dunia meningkat sejak beberapa bulan kebelakangan ini.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif, Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin, berkata PETRONAS sudah merangka bajet berdasarkan anggapan harga minyak di bawah AS$60 satu tong.

“Beberapa perunding mengunjurkan (harga) lebih tinggi daripada itu, namun kemudian menukar unjuran pada setiap tiga bulan. PETRONAS tidak boleh berbuat demikian. Kami perlu menjadi lebih berhemat,” katanya pada taklimat pengarang sebelum pengumuman keputusan kewangan tahunan PETRONAS, baru-baru ini.

Harga minyak pada masa ini berlegar kira-kira AS$67 satu tong, daripada paras terendah 52 minggu AS$45 satu tong. Harga minyak mencecah AS$70 pada awal tahun ini.

Wan Zulkiflee berkata, Indeks Kos Huluan Global, yang digunakan oleh sebahagian pelabur untuk menjejaki kos dalam sektor minyak dan gas (O&G), juga mula meningkat selepas susut sejak 2014.

“Inilah menjadi kebimbangan saya. Adalah bagus jika industri O&G kita tidak mengikuti trend sedemikian (kenaikan kos). Jika kita boleh lagi menjadi daya saing, kita boleh mendapatkan lebih banyak projek,” tambahnya.

Beliau mengakui bahawa dengan harga minyak lebih tinggi, beberapa penyedia perkhidmatan mungkin menjangkakan caj mereka akan sejajar meningkat, namun ia tidak semestinya berlaku.

Wan Zulkiflee berkata, penyedia perkhidmatan O&G sepatutnya tidak memandang caj mereka semata-mata, mengikut fungsi harga minyak.

“Saya berasakan kos adalah salah satu bahagian yang perlu diusahakan seluruh industri untuk menjadikan kita semua berdaya saing setinggi yang boleh. Inilah satu risiko yang saya bimbangi, iaitu ketidakcekapan akan mula berlaku sekali lagi,” katanya.

Beliau berkata, masih lagi ada lebihan kapasiti dalam industri perkhidmatan sokongan O&G, dan peserta industri agak lambat untuk melaksanakan proses pengukuhan atau penggabungan bagi meningkatkan kecekapan kos.

“Sebagai contoh, kita memiliki lebih 230 kapal luar pesisir di Malaysia. Ada 130 yang sedang beroperasi hari ini. Bakinya tidak, melainkan jika mereka menemui pekerjaan lain di rantau ini.

“Walaupun dengan 130 kapal sedang beroperasi, jika PETRONAS mahu terus mengoptimumkannya, masih ada lagi ruang. Masih ada yang banyak perlu dilakukan untuk menjadikan seluruh industri O&G Malaysia berdaya saing,” katanya.

Wan Zulkiflee berkata, pembabitan PETRONAS dalam Pakatan Pengurangan Kos (CORAL 2.0) menghasilkan penjimatan lebih daripada RM10 bilion sejak ia dimulakan pada 2015.

Program jangka panjang industri yang dipacu oleh PETRONAS untuk memupuk set pemikiran berlandaskan kos dalam kalangan peserta Upstream Malaysia juga menarik minat syarikat di Kanada dan Mozambique, antara lainnya.

“Ia penjimatan sebenar dan semuanya adalah mengenai tabiat. Sekarang ini kami berkongsi pelan, spesifikasi dan inventori gudang. Kami sudah melaksanakan perubahan berstruktur dari segi bagaimana industri berbelanja, hanya dengan berkongsi.

“Kami akan meneruskan CORAL dan berharap ini akan menjadi amalan ‘Perniagaan Seperti Biasa’,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, PETRONAS bersedia untuk bekerjasama dengan mana-mana entiti negeri bagi membangunkan sumber minyak dan gas, jika ia bersandarkan kepada rangka kerja kawal selia sedia ada.

Tahun lalu, Sarawak menubuhkan syarikat minyak dan gas milik kerajaan negeri, Petroleum Sarawak Bhd (Petros) bagi meneroka aktiviti huluan minyak dan gas.

Source: https://www.bharian.com.my/bisnes/korporat/2018/03/395758/petronas-tak-ambil-mudah-kenaikan-harga-minyak

Sarawak teroka minyak di daratan

KOTA SAMARAHAN: Kerajaan Sarawak melalui anak syarikatnya, Petroleum Sarawak (PETROS) berhasrat meneroka aktiviti carigali minyak di kawasan daratan di negeri ini dengan memanfaatkan teknologi sama digunakan dalam industri petroleum di Asia Barat, khususnya di Oman.

Ketua Menteri, Datuk Amar Abang Johari Abang Openg, berkata ia sebahagian daripada usaha memperkukuhkan pertumbuhan industri petroleum negeri ini, susulan lawatan kerjanya ke Oman dan beberapa negara Asia Barat, termasuk Emiriah Arab Bersatu (UAE) minggu lalu.

“Kita melawat Oman yang begitu luas padang pasirnya, manakala di seberang lautnya pula ialah Iran. Di Oman, kita berpeluang meninjau kerja-kerja carigali minyak di padang pasir, menggunakan pelbagai teknologi terkini yang sesuai dipraktikkan di Sarawak.

“Menggunakan teknologi canggih itu, Oman mampu mengeluarkan jutaan tong minyak sehari dari telaga padang pasirnya. Atas sebab itu, kita turut membawa wakil PETROS untuk merintis teknologi sama kerana kemungkinan di bawah (daratan) Miri, kita turut memiliki sumber minyak,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Cawangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Zon 2 (Samarahan) di Dewan Suarah Kota Samarahan, di sini.

Abang Johari yang juga menteri bertanggungjawab terhadap sumber minyak dan gas negeri, berkata pendekatan terbaru itu diyakini mampu mengekalkan kedudukan industri petroleum sebagai penyumbang utama ekonomi negeri.

Malah, beliau melihat perkara itu sebahagian daripada usaha memastikan ekonomi negeri terus berada pada landasan kukuh, sekali gus kekal sebagai kuasa ekonomi utama di negara ini.

Pada masa yang sama, katanya, Kerajaan Sarawak juga sebagai mengenalpasti mekanisme baharu untuk pelaksanaan kutipan cukai terhadap pihak menjalankan aktiviti pengeluaran hasil petroleum di negeri ini.

“Ini penting supaya cukai itu dapat dimanfaatkan kerajaan negeri bagi menjalankan lebih banyak projek pembangunan yang berorientasikan kepentingan rakyat kita. ia termasuk pembinaan semula sekolah dan tadika usang yang masih banyak di seluruh negeri tanpa perlu menunggu peruntukan Kerajaan Pusat.

“Kita juga akan menggunakan sumber pendapatan cukai itu bagi menampung kos pembinaan sistem grid bekalan air paip negeri ini yang dijangka mencecah RM1 bilion bagi fasa pertamanya yang akan menyalurkan air bersih dari Empangan Hidro Batang Ai,” katanya.

Abang Johari berkata, inisiatif itu bagi mengatasi masalah bekalan air bersih yang masih berterusan berlaku di kebanyakan kampung dan rumah panjang di kawasan pedalaman dan luar bandar membabitkan Bahagian Samarahan hingga ke Sebuyau dan Tanjung Manis, Mukah.

“Kemudian, fasa seterusnya projek grid itu bagi menyalurkan air bersih dari Empangan Hidro Bakun dan Empangan Hidro Baleh, sekali gus menawarkan suasana kehidupan selesa kepada rakyat, khususnya masyarakat pedalaman dan luar bandar,” katanya.

Source: https://www.bharian.com.my/berita/wilayah/2018/01/378949/sarawak-teroka-minyak-di-daratan

PBB dokong aspirasi anak Sarawak

PERHIMPUNAN Agung Ke-14 Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) bermula semalam, menyaksikan ketiga-tiga jawatan kepemimpinan utama parti itu tidak dipertandingkan.

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg terus diberikan kepercayaan sebagai Presiden PBB, selepas mengambil alih jawatan ‘nombor satu’ itu daripada Allahyarham Tan Sri Adenan Satem atau Tok Nan, yang meninggal dunia akibat komplikasi jantung, 11 Januari tahun lalu.

Jawatan Timbalan Presiden I dan Timbalan Presiden II, masing-masingnya disandang oleh dua orang Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Unggah Embas dan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan sebagai mewakili sayap Pesaka dan Bumiputera PBB.

Bagi PBB yang juga parti politik kedua terbesar di Malaysia, ia cukup dikenali dengan struktur organisasi tersusun, termasuk penyediaan barisan pelapis bagi meneruskan warisan kepemimpinan berpaksikan semangat toleransi dan kesepakatan.

Menginjak usia penubuhannya ke-45 tahun, ia menempuh perjalanan penuh pengalaman dan pengajaran, sekali gus membantu mendewasakannya, termasuk memastikannya kekal relevan dengan perkembangan semasa.

Berkongsi formula kejayaan itu, Awang Tengah menjelaskan bahawa parti berkenaan sentiasa menerapkan disiplin, ketaatan dan kesetiaan, dengan semua elemen itu cukup difahami dan dihayati seluruh ahli dari peringkat akar umbi hingga kepemimpinannya.

“Ia bukan sekadar pegangan, sebaliknya sebagai perlambangan tradisi PBB sejak penubuhannya pada 5 Januari 1973, melalui penggabungan Parti Pesaka Anak Sarawak (PESAKA) dengan Parti Bumiputera Sarawak (BUMIPUTERA).

Patuh kepada ketua

“Kita dididik agar sentiasa patuh kepada ketua. Mesti ada restu. Jika perlu berkorban demi kepentingan dan kelangsungan parti, kita perlu melakukannya dengan hati terbuka bertepatan dengan slogan PBB, Berkorban Bersatu. Ini bukan bermaksud tiada demokrasi dalam PBB, namun kepentingan parti melebihi kepentingan peribadi,” katanya.

Dalam temu bual eksklusif dengan BH, Awang Tengah menjelaskan budaya parti yang mengutamakan sifat kebertanggungjawaban bersama meletakkan PBB di landasan kukuh sebagai parti dominan BN Sarawak.

“Kita memiliki struktur (kepemimpinan) yang baik. Selain sentiasa patuh pada perlembagaan parti, dari peringkat ranting, cawangan hingga ke perhimpunan agung. Kita ambil kira kepentingan semua pihak, majoriti dan minoriti. PBB sebagai parti utama membentuk kerajaan negeri turut merangka dasar bersifat inklusif,” katanya.

Bagi Awang Tengah juga, PBB lebih daripada sekadar parti politik, sebaliknya institusi kepemimpinan dalam membentuk kelompok pemimpin berwibawa sehingga tidak pernah ketandusan pemimpin baharu.

“Ada sudah menjadi Menteri, Timbalan Menteri (Persekutuan), Menteri Muda (Kabinet Sarawak), ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) dan Ahli Parlimen. PBB juga yang pertama menampilkan calon wanita (dalam pilihan raya). Ini proses kematangan ke arah mewujudkan kesinambungan legasi kepemimpinan dinamik.

“Kita tidak membuat keputusan mengikut emosi, tiada semangat kewilayahan, sentimen perkauman atau keagamaan. Gabungan PESAKA dan Bumiputera menjadikannya PBB cukup inklusif mendokong Dasar Politik Matang. Ibarat payung dalam memperjuangkan hak anak Sarawak. Tidak kiralah Bumiputera atau bukan Bumiputera,” katanya.

Seiring usianya melangkaui empat dekad, PBB kini muncul sebagai parti berorientasikan rakyat, dihormati dan disegani terutama dalam usaha menuntut kembali hak dan kepentingan negeri dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang dirintis Tok Nan.

“Ini hak kita seperti termaktub dalam MA63. Berlandaskan Perlembagaan, kita hanya mahukan ia dihormati. Kita bukan mahu bawa Sarawak keluar dari Malaysia. Tok Nan pernah berkata, Sarawak bersama membentuk Malaysia dan sampai bila-bila pun tetap bersama Malaysia.

“Abang Johari juga secara jelas turut mengulangi pendirian sama dalam ucapan penggulunggannya pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), 17 November lalu. PBB juga lantang memperjuangkan isu tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) kerana menyedari kepentingan tanah NCR kepada masyarakat Bumiputera Sarawak,” katanya.

PETROS ditubuh

Atas inisiatif PBB juga, yang dimulakan oleh Adenan, kepentingan industri petroleum negeri sentiasa dilindungi sehingga menyaksikan PETRONAS bersetuju memberikan kontrak bernilai RM2.1 bilion kepada syarikat anak Sarawak, sekali gus memastikan mereka terbabit secara aktif dalam sektor minyak dan gas di Sarawak.

Awang Tengah turut bersyukur kerana tampuk kepemimpinan negeri kini berpindah tangan kepada Abang Johari sebagai kapten baharu ‘Tim Adenan’, lebih-lebih lagi dengan pengalaman luas beliau sebagai veteran PBB.

Di bawah kepemimpinan Abang Johari, tertubuhnya Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) yang cukup signifikan dalam meningkatkan penyertaan anak Sarawak dalam sektor huluan dan hiliran industri petroleum.

“Penubuhan PETROS menunjukkan kesungguhan ketua menteri untuk memastikan penyertaan kita dalam industri minyak dan gas agar lebih bermakna. Ia antara platform pengukuhan ekonomi negeri, selain penubuhan Bank Pembangunan Sarawak (DBOS) dalam memperkasa landskap pembangunan Bumi Kenyalang,” katanya.

Tema ‘Mentranformasikan Sarawak Melalui Ekonomi Digital’ pula memperlihatkan PBB bersiap sedia bergerak seiring dengan perubahan global agar kekal relevan dengan perkembangan semasa.

“Ekonomi Digital itu bukan lagi satu pilihan, sebaliknya keperluan penting seiring ledakan kemajuan bidang teknologi maklumat dan komunikasi (ICT). Ya, dalam PBB, walaupun sejarah sentiasa menjadi rujukan atau pedoman, namun keperluan masa depan sentiasa dititikberatkan.

“Konsep Ekonomi Digital perlu difahami dalam konteks sebenar. Perlu ada kesedaran agar mudah kita menerima pembaharuan. Peruntukan RM1 billion untuk meningkatkan prasarana ICT jelas memperlihatkan komitmen kita dalam hal ini, selain tertubuhnya Lembaga Multimedia Sarawak dan Sarawak Pay,” katanya.

Source: https://www.bharian.com.my/rencana/komentar/2018/02/386833/pbb-dokong-aspirasi-anak-sarawak

Latest Articles