‘Pemantauan kerajaan negeri ke atas Petroleum Sarawak Bhd mandatori’

213

Ketua menteri Sarawak berkata, langkah itu perlu supaya Petroleum Sarawak Bhd kukuh, berkesan dan cekap dalam melaksanakan peranannya dalam industri minyak dan gas.

Ketua Menteri Sarawak Abang Johari Openg (2 dari kiri) ketika melancarkan Petroleum Sarawak Bhd malam tadi. (Gambar Facebook)

KUCHING: Ketua Menteri Sarawak, Datuk Abang Johari Openg mahu Petroleum Sarawak Bhd (Petros) yang kukuh, berkesan dan cekap dalam melaksanakan peranan diamanahkannya dalam industri minyak dan gas (O&G).

Beliau berkata, bagi merealisasikannya, penubuhan pihak berkuasa, pengawal selia dan pemantauan oleh kerajaan negeri ke atas Petros adalah mandatori.

“Justeru, Petros mesti membangunkan kehadirannya yang strategik di Sarawak untuk berkembang dan menyampaikan manfaat ekonomi secara mampan menerusi model perniagaannya, dan pada masa sama melindungi kepentingan kerajaan negeri dan sumbernya,” katanya ketika melancarkan syarikat minyak milik kerajaan negeri itu, malam tadi.

Abang Johari juga mengumumkan Sarawak akan mengambil alih sepenuhnya pengawalseliaan dalam aspek huluan dan hiliran dalam industri O&G di negeri ini menjelang Julai ini, yang merupakan sebahagian penurunan kuasa oleh kerajaan persekutuan.

Beliau berkata, Sarawak akan mengeksploitasi sumber semula jadi minyak dan gas seperti yang diperuntukkan dalam Perlembagaan mengikut Senarai Negeri dalam Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, penurunan kuasa itu selaras perjanjian Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, untuk mengembalikan kuasa diperuntukkan dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) kepada Sarawak, yang secara tidak sengaja terhakis sejak bertahun-tahun.

Abang Johari berkata, bagi memastikan Petros melaksanakan peranan diamanahkan kepadanya secara berhemah, syarikat itu perlu mendapatkan bimbingan kerajaan negeri untuk hala tuju dasar dalam pelaksanaan peranan dan tanggungjawab strategiknya.

“Menerusi sokongan berterusan rakyat kepada Barisan Nasional, lebih banyak kemajuan akan dibuat bagi memenuhi aspirasi rakyat Sarawak dalam mencapai tahap pembangunan yang selari negeri-negeri lebih maju di Semenanjung.

“Hasil yang lebih banyak daripada minyak, gas dan sumber mineral lain akan dapat membiayai agenda pembangunan dan inisiatif dilancarkan saya untuk ekonomi digital Sarawak,” katanya.

Beliau juga mengulangi pentingnya semua rakyat Malaysia bekerjasama dalam menangani cabaran sama dan berusaha untuk membolehkan Sarawak mendapat manfaat daripada inisiatif pengurusan sumber semula jadi yang terhad.

Pelancaran Petros, katanya, menandakan satu lagi kejayaan dalam O&G negeri dan untuk Sarawak, semata-mata disebabkan ia mempunyai sumber baharu untuk membolehkannya meningkatkan model pengurusan sumber negeri.

“Kabinet negeri dan saya sangat gembira kerana kami mengambil tindakan berani dalam usaha mengubah ekonomi dan melonjakkannya ke tahap lebih tinggi. Justeru, pelancaran ini merupakan majlis penting bukan hanya untuk Sarawak, bahkan juga untuk Malaysia.”

Pada majlis itu, Abang Johari turut mengumumkan pelantikan Saau Kakok sebagai ketua pegawai eksekutif Petros. Beliau mempunyai pengalaman hampir 40 tahun dalam industri O&G.

Jawatan terakhirnya ialah naib presiden Asia sebuah syarikat minyak bebas berpangkalan di Amerika Syarikat.

“Petros bernasib baik mendapatkan pengalaman, bakat dan visi Saau. Saya yakin beliau merupakan ketua yang tepat untuk memimpin syarikat pada masa depan,” katanya sambil menambah nilai kerjaya orang muda berbakat Sarawak itu akan menjadikan Petros tempat terbaik untuk bekerja.

Beliau berkata, Sarawak mempunyai bakat baik dengan pengalaman dan kepakaran dalam industri O&G dan penglibatan mereka akan dipertingkat melalui penyertaan dalam kontrak dan pembekalan perkhidmatan yang ditawarkan Petros.

Katanya, kerajaan negeri akan mengeluarkan garis panduan kepada Petros untuk memastikan penyertaan lebih besar dan bermakna oleh syarikat Sarawak itu dalam sektor terbabit.

“Sejak 1975, gas asli cecair dari Sarawak dieksport Petronas dan hasil yang diperoleh, menyumbang kepada ekonomi negara dan pembangunan persekutuan.

“Dengan menjalankan hak perlembagaan kita, kerajaan negeri memenuhi aspirasi rakyat Sarawak bahawa hasil tambahan daripada minyak dan gas, mempercepatkan pembangunan perindustrian dan kemajuan ekonomi, untuk membolehkan Malaysia pada keseluruhannya mencapai pendapatan ekonomi tinggi menjelang 2030.”

Beliau berkata, kerajaan negeri mahu melihat Petros bekerja bersama Petronas dalam kedua-dua sektor huluan dan hiliran dalam industri O&G.

“Kedua-dua syarikat ini boleh memberi sumbangan besar kepada kemajuan industri di Malaysia dan kemajuan ekonomi dan kemakmuran negara,” katanya.

 

Abang Johari: Sarawak kini berkuasa penuh ke atas industri minyak, gas

Source: http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2018/03/07/pemantauan-kerajaan-negeri-ke-atas-petroleum-sarawak-bhd-mandatori/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here