PETRONAS tak ambil mudah kenaikan harga minyak

154

KUALA LUMPUR: Syarikat minyak negara, PETRONAS akan melabur dan berbelanja secara berhati-hati pada 2018 walaupun harga minyak dunia meningkat sejak beberapa bulan kebelakangan ini.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif, Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin, berkata PETRONAS sudah merangka bajet berdasarkan anggapan harga minyak di bawah AS$60 satu tong.

“Beberapa perunding mengunjurkan (harga) lebih tinggi daripada itu, namun kemudian menukar unjuran pada setiap tiga bulan. PETRONAS tidak boleh berbuat demikian. Kami perlu menjadi lebih berhemat,” katanya pada taklimat pengarang sebelum pengumuman keputusan kewangan tahunan PETRONAS, baru-baru ini.

Harga minyak pada masa ini berlegar kira-kira AS$67 satu tong, daripada paras terendah 52 minggu AS$45 satu tong. Harga minyak mencecah AS$70 pada awal tahun ini.

Wan Zulkiflee berkata, Indeks Kos Huluan Global, yang digunakan oleh sebahagian pelabur untuk menjejaki kos dalam sektor minyak dan gas (O&G), juga mula meningkat selepas susut sejak 2014.

“Inilah menjadi kebimbangan saya. Adalah bagus jika industri O&G kita tidak mengikuti trend sedemikian (kenaikan kos). Jika kita boleh lagi menjadi daya saing, kita boleh mendapatkan lebih banyak projek,” tambahnya.

Beliau mengakui bahawa dengan harga minyak lebih tinggi, beberapa penyedia perkhidmatan mungkin menjangkakan caj mereka akan sejajar meningkat, namun ia tidak semestinya berlaku.

Wan Zulkiflee berkata, penyedia perkhidmatan O&G sepatutnya tidak memandang caj mereka semata-mata, mengikut fungsi harga minyak.

“Saya berasakan kos adalah salah satu bahagian yang perlu diusahakan seluruh industri untuk menjadikan kita semua berdaya saing setinggi yang boleh. Inilah satu risiko yang saya bimbangi, iaitu ketidakcekapan akan mula berlaku sekali lagi,” katanya.

Beliau berkata, masih lagi ada lebihan kapasiti dalam industri perkhidmatan sokongan O&G, dan peserta industri agak lambat untuk melaksanakan proses pengukuhan atau penggabungan bagi meningkatkan kecekapan kos.

“Sebagai contoh, kita memiliki lebih 230 kapal luar pesisir di Malaysia. Ada 130 yang sedang beroperasi hari ini. Bakinya tidak, melainkan jika mereka menemui pekerjaan lain di rantau ini.

“Walaupun dengan 130 kapal sedang beroperasi, jika PETRONAS mahu terus mengoptimumkannya, masih ada lagi ruang. Masih ada yang banyak perlu dilakukan untuk menjadikan seluruh industri O&G Malaysia berdaya saing,” katanya.

Wan Zulkiflee berkata, pembabitan PETRONAS dalam Pakatan Pengurangan Kos (CORAL 2.0) menghasilkan penjimatan lebih daripada RM10 bilion sejak ia dimulakan pada 2015.

Program jangka panjang industri yang dipacu oleh PETRONAS untuk memupuk set pemikiran berlandaskan kos dalam kalangan peserta Upstream Malaysia juga menarik minat syarikat di Kanada dan Mozambique, antara lainnya.

“Ia penjimatan sebenar dan semuanya adalah mengenai tabiat. Sekarang ini kami berkongsi pelan, spesifikasi dan inventori gudang. Kami sudah melaksanakan perubahan berstruktur dari segi bagaimana industri berbelanja, hanya dengan berkongsi.

“Kami akan meneruskan CORAL dan berharap ini akan menjadi amalan ‘Perniagaan Seperti Biasa’,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, PETRONAS bersedia untuk bekerjasama dengan mana-mana entiti negeri bagi membangunkan sumber minyak dan gas, jika ia bersandarkan kepada rangka kerja kawal selia sedia ada.

Tahun lalu, Sarawak menubuhkan syarikat minyak dan gas milik kerajaan negeri, Petroleum Sarawak Bhd (Petros) bagi meneroka aktiviti huluan minyak dan gas.

Source: https://www.bharian.com.my/bisnes/korporat/2018/03/395758/petronas-tak-ambil-mudah-kenaikan-harga-minyak