Sarawak ambil alih pengagihan gas domestik

13

KUCHING: Sarawak melalui syarikat minyaknya, Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) kini mengambil alih pengagihan gas domestik daripada PETRONAS.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, berkata ini menjadikan PETROS sebagai entiti tunggal untuk membekal, menjual dan mengedar gas domestik ke rumah, perniagaan dan industri Sarawak.

“Berkuat kuasa 1 Januari 2020, PETROS mempunyai kawalan dan kuasa penuh ke atas bekalan, jualan dan pengedaran gas asli di Sarawak, selaras dengan Ordinan Pengagihan Gas Negara 2016.

“Dengan ini, Sarawak kini berada dalam kedudukan yang kukuh untuk meningkatkan daya tarikan negeri sebagai destinasi pelaburan pilihan, sekali gus melonjakkan pembangunan ekonomi ke arah ekonomi berpendapatan tinggi menjelang 2030,” katanya pada Majlis Menandatangani Gas Domestik Sarawak antara PETROS dan PETRONAS, di sini hari ini.

PETROS diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Sauu Kakok, manakala PETRONAS diwakili Naib Presiden Kanan Strategi Korporat, Mohamed Firouz Asnan.

Awang Tengah, yang mewakili Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg, berkata walaupun Sarawak memegang 54 peratus daripada jumlah rizab gas nasional serta 29 peratus daripada jumlah rizab minyak nasional, namun nilai aktiviti hiliran sumber minyak dan gas yang dieksport sebagai minyak mentah dan gas asli cecair (LNG) sangat sedikit.

Dengan perkembangan terbaru ini, Menteri Pembangunan Sumber dan Sumber Air Kedua itu berkata, Sarawak kini boleh menarik lebih banyak pelaburan dalam industri hiliran minyak dan gas dengan menyediakan lebih banyak gas sebagai bahan mentah serta industri bernilai tinggi lain.

Beliau berkata Sarawak merancang mewujudkan industri petrokimia hiliran untuk meningkatkan penyertaan dalam rantaian nilai yang lebih tinggi.

“Dengan kemudahan infrastruktur sedia ada di Bintulu, Sarawak dapat memanfaatkan sumber gas asli sebagai bahan bakar dan menjadikan Bintulu sebagai hab minyak dan gas yang berkembang maju di rantau ini,” katanya sambil menambah kerajaan negeri juga sedang mencari kawasan lain untuk membina hab petrokimia selain dari Bintulu.

Source: https://www.bharian.com.my/bisnes/korporat/2020/02/655089/sarawak-ambil-alih-pengagihan-gas-domestik

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here