Sarawak hargai usaha Najib, bukan cakap kosong

87

KUCHING: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berjaya membuktikan dirinya seorang pemimpin berwibawa dan bukan sekadar `cakap kosong’ apabila menunaikan janji mengembalikan hak dan keistimewaan negeri ini yang terhakis di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri James Jemut Masing, berkata inisiatif itu jelas memperlihatkan keterbukaan Najib dalam menangani isu berkenaan, selain turut membawa lebih banyak pembangunan ke negeri ini, sekali gus memperkasakan sosio-ekonomi rakyat.

“Datuk Seri Najib (Razak) mengakui ada hak dan keistimewaan negeri ini yang terhakis, malah sentiasa bersedia mengembalikannya melalui proses rundingan bersama kerajaan negeri.

“Beliau cukup komited dalam usaha berkenaan kerana menyedari kepentingan perkara itu dalam membawa kemakmuran berpanjangan kepada Sarawak dan rakyatnya. Beliau berjanji dan beliau melaksanakannya, bukan bercakap tanpa tindakan,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Diminta mengulas lanjut mengenai penubuhan Petroleum Sarawak Berhad (PETROS), Masing yang juga Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS), berkata, sudah tiba masa negeri ini mengeksploitasikan kekayaan sumber alamnya, terutama khazanah minyak dan gas.

Beliau menjelaskan melalui penubuhan syarikat milik penuh kerajaan negeri itu, Sarawak kini mempunyai akses dan kawalan sepenuhnya terhadap hasil bumi yang sebelum ini tidak dapat dilaksanakan.

“Usaha dilaksanakan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg dan Datuk Seri Najib (Razak) ini sangat signifikan dalam membuka lembaran baharu kepada negeri ini, terutama dalam menjadikan Sarawak sebagai pemain utama industri petroleum negara,” katanya.

Masing turut berharap pembangkang bersama Barisan Nasional (BN) Sarawak dalam usaha mendapatkan kembali semua hak dan keistimewaan negeri ini berdasarkan perkembangan positif proses perundingan yang berlangsung.

Malah, beliau mengambil pendirian optimistik, termasuk menjangka ada kemajuan lebih dalam penurunan kuasa berkenaan dan memerlukan sokongan semua pihak, termasuk pembangkang bagi mendokong usaha berkenaan.

“Ketika Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun, isu penurunan kuasa tidak berlaku, termasuk mengkaji semula hak Sarawak seperti yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan, malah ia satu perkara sensitif ketika itu.

“Namun, Datuk Seri Najib (Razak) mengambil pendekatan berbeza apabila membuka pintu rundingan untuk Kerajaan Pusat dan kerajaan negeri berbincang mengenainya, seterusnya mengambil kembali segala hak dan keistimewaan negeri yang terhakis selama ini,” katanya.

Bagi Masing, penubuhan syarikat petroleum itu juga antara kejayaan terbesar proses menuntut kembali hak dan keistimewaannya yang terhakis dalam MA63.

“Ini juga mudah dilakukan kerana hubungan erat Kerajaan Pusat dan kerajaan negeri melalui proses perundingan dijalankan sebelum ini, terutama membabitkan penurunan kuasa pentadbiran yang berkaitan.

“Penubuhan PETROS berupaya memperkukuhkan kedudukan negeri ini sebagai pemain utama industri minyak dan gas negara, merangkumi sektor huluan serta hiliran.” katanya.

Source: https://www.bharian.com.my/berita/wilayah/2018/03/396742/sarawak-hargai-usaha-najib-bukan-cakap-kosong