Sarawak teliti cadangan ambil alih kepentingan PETRONAS

48

KUCHING: Kerajaan Sarawak disaran menjalankan kajian terperinci berhubung cadangan mengambil alih kepentingan dalam Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) yang merangkumi konsesi di luar negara.

Pejabat Ketua Menteri Sarawak memaklumkan saranan itu dikemukakan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam pertemuan bersama Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal di Putrajaya, Isnin lalu.

“Saranan itu dibuat selepas mengambil kira hakikat bahawa PETRONAS adalah sebuah syarikat minyak global yang memiliki konsesi di seberang laut, khususnya Asia Tengah, Afrika dan Amerika Utara terutama Kanada,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Dalam pertemuan selama 90 minit itu, ketiga-tiga tiga pemimpin terbabit turut membincangkan pelbagai isu yang mempunyai kaitan dengan hak Sabah dan Sarawak terhadap sumber gas serta minyak di kedua-dua negeri terbabit.

Menurut kenyataan itu lagi, pada pertemuan itu, Abang Johari turut memaklumkan, Sarawak sedang mengukuhkan penyertaan Syarikat Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) dalam aktiviti huluan serta hiliran industri minyak dan gas di negeri ini.

“Ia selaras dengan Ordinan Perlombongan Minyak (OMO) 1958 dan peruntukan yang relevan dalam Perlembagaan Sarawak,” katanya.

Source: https://www.bharian.com.my/berita/wilayah/2019/12/639712/sarawak-teliti-cadangan-ambil-alih-kepentingan-petronas

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here